Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Seorang operator kilang maut akibat letupan mesin pengering di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di kawasan Perindustrian Tanjung, Sepang dekat sini baru-baru ini.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.56 petang, Sabtu lalu ketika mangsa merupakan lelaki warga asing itu sedang melakukan kerja-kerja membasuh dan mengeringkan produk sarung tangan.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditugaskan untuk memasukkan produk sarung tangan ke dalam mesin pembasuh sebelum memindahkannya ke mesin pengering.
Katanya, mangsa kemudiannya memeriksa keadaan mesin pengering dengan memegang pada dinding pintu dengan menggunakan tangan setelah selesai proses pemindahan produk itu.
“Melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) selepas mangsa menekan ‘start button’ didapati berlaku satu letupan.
“Pintu mesin pengering itu telah terkena mangsa dan mengakibatnya terpelanting. Mangsa yang cedera parah telah disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas JKKP, surat arahan larangan kacau ganggu telah dikeluarkan kepada pihak majikan bagi menghentikan serta-merta semua aktiviti kerja di kilang tersebut sehingga siasatan selesai.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Operator kilang maut mesin pengering meletup appeared first on Kosmo Digital.