Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Bekas pengerusi eksekutif sebuah syarikat perlombongan didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan penipuan berjumlah RM2.5 juta berikutan projek perlombongan antara tahun 2020 dan 2021.
Tertuduh, Zahri Ismail, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Zahri didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun berjumlah keseluruhan RM2.5 juta dengan memperdayakan akan memberikan projek perlombongan di sebuah lot di Mukim Relai, Gua Musang di Kelantan.
Wang-wang itu telah dipindahkan secara dalam talian ke satu akaun bank sebuah syarikat dengan kesalahan itu dilakukan di dua buah cawangan bank sekitar Petaling Jaya antara Jun 2020 hingga 30 Jun 2021.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun, sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ‘Athirah Mohd. Azuarizanuddin mencadangkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Kelantan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
“Kami turut memohon kebenaran memindahkan kes ini untuk dibicarakan bersama dengan kes yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan sebelum ini,” katanya.
Peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi memaklumkan anak guamnya kini berada dalam pemantauan kesihatan susulan telah menjalani 10 prosedur berkaitan penyakit jantung.
“Jadi, tiada risiko melarikan diri. Justeru, mohon mengguna pakai jaminan keseluruhan RM70,000 yang telah ditetapkan Mahkamah Kota Bharu dan Alor Setar,” jelasnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan permohonan pemindahan kes oleh pihak pendakwaan. Sebutan semula kes 1 Mac depan.
Media sebelum ini melaporkan Zahri telah didakwa 13 pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat bernilai RM485,500 di Mahkamah Kota Bharu selain lima pertuduhan penipuan berjumlah RM1.38 juta di Mahkamah Alor Setar. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas pengerusi eksekutif didakwa tipu RM2.5 juta projek perlombongan appeared first on Kosmo Digital.