Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 di Kampung Limau Kasturi di sini ditutup sepenuhnya hari ini selepas 81 penduduk daripada 22 keluarga dibenarkan pulang apabila banjir semakin surut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, semua mangsa terbabit dibenarkan pulang selepas dua malam berlindung di PPS berkenaan.
Katanya, PPS itu ditutup secara rasmi hari ini selepas dibuka pada pukul 2 petang kelmarin.
“Alhamdulillah, limpahan air Sungai Galas telah surut dan keadaan cuaca semakin baik. Kita berharap keadaan ini berterusan bagi membolehkan mangsa terjejas menguruskan serta membersihkan barangan di rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir yang juga pesakit diabetes, Siti Marbiah Sulaiman, 48, berkata, dia lega apabila akhirnya dibenarkan pulang ke rumah.
Katanya, dia dibawa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menaiki bot kelmarin bagi menyeberangi jalan yang dilimpahi air Sungai Galas.
“Saya menghidap penyakit kencing manis sejak lebih 10 tahun lalu dan kini hanya berkerusi roda. Sepanjang berada di PPS, pergerakan saya agak terhad dan hanya dibantu suami kerana kaki kanan saya mengalami luka serta baru menjalani pembedahan.
“Saya lega apabila dapat pulang ke rumah. Saya juga dapat meneruskan rawatan mencuci luka di Klinik Kesihatan Jeram Tekoh selepas banjir kilat reda,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir Gua Musang surut, PPS SK Limau Kasturi ditutup appeared first on Kosmo Online.
