Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Rombongan aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendakwa sudah mengenal pasti dalang di sebalik serangan dron ke atas kapal Global Sumud Flotila (GSF) di perairan Tunisia, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 malam (waktu tempatan), kapal utama yang dikenali sebagai Madeira Family dilaporkan terkena serangan objek berapi sehingga menyebabkan kerosakan.
Aktivis Mapim, Zulfadhli Khiruddin berkata, walaupun pihaknya yakin mengetahui dalang serangan itu, siasatan rasmi masih diteruskan oleh jawatankuasa pemandu (steering committee).
“Kami sebenarnya sudah boleh membaca siapa dalang di sebalik serangan ini, namun siasatan rasmi masih diteruskan. Kami diminta bertenang dan tidak membuat spekulasi berlebihan,” katanya,hari ini.
Beliau berkata, semua ahli rombongan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, GSF mengesahkan salah sebuah bot utama yang dikenali sebagai ‘Family Boat’ yang membawa ahli Jawatankuasa Pemandu telah diserang oleh sebuah dron di perairan Tunisia.
GSF dalam kenyataannya berkata, bot tersebut berlayar di bawah bendera Portugal dan kesemua enam penumpang serta kru berada dalam keadaan selamat.
Seramai 15 peserta daripada Malaysia telah menyertai misi bersejarah ini, pelayar yang tidak membawa senjata tapi hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.- KOSMO! ONLINE
The post Dalang serangan dron Flotila di Tunisia dikenal pasti appeared first on Kosmo Digital.