Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Siapakah doktor wanita India yang bertugas di Hospital Slim River (HSR)? Saya nak ‘Sispaa’ dia.”
Itu pertanyaan seorang wanita, meminta bantuan orang ramai ‘mengesan’ seorang doktor wanita berbangsa India yang merawat ibunya di hospital berkenaan, di Perak baru-baru ini.
Menggunakan profil @Im_nikida di media sosial itu bagaimanapun wanita itu berkata, dia ingin membuat ‘laporan’ menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam susulan layanan baik doktor berkenaan terhadap ibunya.
“Tak pasti (doktor berkenaan) di Wad Wanita 4 atau di Unit Kecemasan, saya nak Sispaa dia. Mak saya diwadkan dah petang, tak makan seharian dan mengadu lapar dekat doktor.
“Jururawat kata tak ada makanan untuk mak sebab masuk lewat petang. Mak kata doktor beri nasi (dia punya) kepada mak dan kata dia boleh beli lain. Mak kata, doktor baik dan lembut sangat. Semoga doktor maju jaya dalam kerjaya dan dapat jadi pakar,” katanya.
Hantarannya itu meraih perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut meninggalkan komen menerusi media sosial kementerian berkenaan.
“Terima kasih atas perkongsian yang amat positif ini. Kami akan mengambil maklum supaya penghargaan sewajarnya dapat disampaikan kepada doktor berkenaan.
“Semoga ibu puan cepat pulih dan dikurniakan kesihatan berpanjangan. Terima kasih sekali lagi berkongsi pengalaman baik ini. Ia memberi motivasi dan semangat kepada warga kesihatan kami,” ujar KKM. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Siapa doktor wanita tu di HSR, saya nak Sispaa dia’ appeared first on Kosmo Digital.
