Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung insiden serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang berlaku pada 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu menerusi bahan bukti yang diperoleh, termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Bagaimanapun katanya, identiti sebenar suspek masih belum dapat dipastikan berikutan rakaman yang diperoleh tidak begitu jelas.
“Terdapat beberapa individu yang kita (PDRM) kenal pasti melalui rakaman CCTV, tetapi rakaman itu nampaknya tidak begitu jelas dan tidak dapat diketahui (wajah individu berkenaan),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan Rafizi memberitahu beliau belum dimaklumkan perkembangan baru daripada pihak polis berhubung serangan itu, sambil menegaskan dia akan mendesak pihak berkuasa untuk memberikan kemas kini.
Pada 22 Ogos, Mohd. Khalid dilapor berkata pihak polis telah merekodkan keterangan daripada 19 individu, termasuk ahli keluarga Rafizi, berkaitan kes serangan terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun itu di sebuah pusat beli-belah.
Jelas beliau, pihak polis juga masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital mengenai cecair yang disuntik ke tubuh anak Rafizi semasa serangan itu. – KOSMO! ONLINE
The post Kes anak Rafizi: Rakaman CCTV tidak jelas appeared first on Kosmo Digital.