Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Pemergian pelakon veteran Allahyarham Jalil Hamid meninggalkan kesan mendalam dalam hati rakan seperjuangan, Ahmad Tarmimi Siregar yang menyifatkan sahabatnya itu sebagai insan berprinsip tinggi dan sukar diganti.
Tarmimi, 76, berkata, Allahyarham bukan hanya berbakat besar, malah tegas dalam mempertahankan nilai diri terutama melibatkan soal kerjaya.
“Dia sangat berprinsip. Kadang-kadang sampai kita sendiri rasa gerun dengan ketegasan dia.
“Sekali dia kata tidak, maka tidaklah. Walaupun disampaikan dengan lembut, pendirian tetap keras.
“Kita kadang-kadang terima kerja sebab kawan, tetapi dia tetap jaga nilai diri. Kawan tetap kawan, tetapi jangan sampai harga diri dijatuhkan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut pelakon filem Denu itu, Allahyarham juga seorang insan sederhana, namun memiliki prinsip hidup kukuh sehingga tidak mudah didekati oleh sesiapa yang tidak benar-benar mengenalinya.
“Jalil seorang sederhana, tetapi prinsipnya tinggi. Orang luar mungkin tidak nampak, tetapi itulah dirinya.
“Dia pernah berdepan masalah kesihatan, sukar makan bertahun-tahun. Ada juga isu jantung belum sempat dirawat kerana kekangan tertentu.
“Namun pemergiannya sangat indah. Allah jemput ketika tidur, tidak menyusahkan sesiapa,” ujarnya ketika menghadiri pengebumian sahabatnya itu.
Kenal sejak 1970-an
Mengimbas kenangan, Tarmimi memberitahu mereka sudah mengenali antara satu sama lain sejak era teater sekitar tahun 1970-an di Johor.
Kongsinya, kenangan paling manis bersama Allahyarham turut melibatkan minat mereka terhadap makanan.
“Sejak zaman teater di Dewan Johor lagi kami sudah bersama. Bila saya jadi pegawai kebudayaan, banyak program kami jayakan bersama.
“Kali terakhir kami bekerjasama sekitar dua atau tiga tahun lalu untuk Ayahanda.
“Paling penting kami berkongsi minat sama, suka sate perut bulat. Saya pernah masakkan pindang otak lembu untuk dia, itu antara kegemarannya,” dedahnya.
Cerita Tarmimi lagi, komunikasi terakhir mereka berlaku sebelum Aidilfitri lalu, termasuk perbincangan mengenai karya baharu dan tawaran produksi luar negara.
“Sebelum raya kami sempat berbual tentang lagu baharunya bersama anak. Dia juga pernah hubungi saya bertanya soal tawaran produksi Indonesia.
“Kami sama-sama tidak teruskan kerana soal harga diri. Bukan tiada rezeki, tetapi prinsip tetap dipegang apatah lagi berkaitan bayaran,” jelasnya.
Jenazah Allahyarham Jalil, 69, selamat dikebumikan sekitar pukul 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah disempurnakan di Masjid Al-Munawwarah sebelum dibawa ke tanah perkuburan dalam suasana penuh hiba.
Lebih 300 ahli keluarga, sahabat serta rakan selebriti hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Datuk Hans Isaac, Sabri Yunus, M. Nasir, Nabil, Tam Spider dan Abon.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari.
Sepanjang karier seni, Allahyarham dikenali sebagai figura versatil merangkumi lakonan, nyanyian serta komedi, selain pernah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Baginda serta kemenangan di Anugerah Skrin 2016 dan Anugerah Telenovela 2018. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Arwah pergi sangat indah waktu tidur, tak susahkan orang’ appeared first on Kosmo Digital.
