Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kerajaan memantau rapat perkembangan TikTok terutama selepas dimaklumkan syarikat itu kini sedang mengurangkan jumlah pekerja moderator kandungan dan mahu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu menimbulkan kebimbangan kerana AI berisiko membenarkan kandungan pro-Zionis meresap dalam algoritma platform berkenaan.
“Saya risau apabila moderator dibuang dan AI dijadikan sandaran, tidak mustahil kandungan pro-Zionis akan mula meresap dalam algoritma TikTok. Itu sebabnya saya sudah ambil langkah awal menghubungi CEO mereka.
“Awal September ini, kita akan adakan pertemuan rasmi bersama pihak TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas termasuk sekatan terhadap TikTok sekiranya terbukti ada pengaruh Zionis dalam pengurusan kandungannya.
“Kita mula dengan perbincangan dahulu, tetapi jika perlu, tindakan tegas akan diambil kerana TikTok dilesenkan di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang tindakan akan dibuat secara rasional kerana kerajaan sedar jutaan rakyat Malaysia menggunakan platform itu untuk berniaga dan berkarya.
Sementara itu, portal The Jerusalem Post sebelum ini melaporkan TikTok melantik Erica Mindel, seorang bekas anggota tentera Israel (IDF) dan penyokong tegar Zionis, sebagai Public Policy Manager, Hate Speech sejak Julai lalu.
Mindel dilaporkan ditugaskan merangka strategi jangka panjang dasar ucapan kebencian, memantau kandungan atas talian serta menjadi pakar rujuk antisemitisme dalam pertemuan dalaman dan luaran.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dengan Jabatan Negara AS ketika pentadbiran Joe Biden serta American Jewish Committee (AJC) dalam program advokasi pro-Israel.
Pelantikan itu menimbulkan kebimbangan kerana TikTok sebelum ini dikritik gagal mengurus kandungan antisemitisme, malah dituduh membantu melonjakkan sentimen berkenaan.- KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan pantau rapat TikTok, mungkin ada sekatan appeared first on Kosmo Digital.