Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGKOK – Dominasi skuad skuasy negara di pentas Asia Tenggara ternyata sukar digugat sejurus kejayaan menyapu bersih empat pingat emas pada Sukan SEA 2025 sekali gus membuktikan Malaysia berada dalam kelas tersendiri.
Ketua jurulatih negara, Ajaz Azmat mengakui berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang bukan sahaja menepati sasaran empat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), malah membuktikan keupayaan barisan pelapis yang disifatkannya sudah bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar.
Menurut Ajaz, apa yang lebih membanggakan adalah kejayaan itu dilakar meskipun Malaysia sekadar menghantar barisan kedua untuk mencipta kejutan di Thailand.
“Saya rasa kami beraksi dengan cukup baik pada temasya kali ini. Kita boleh melihat generasi baharu skuasy Malaysia yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA.
“Apa yang boleh saya lihat, di Sukan SEA, standard kita memang agak jauh dan tinggi sedikit berbanding negara lain. Pemain yang beraksi di Thailand adalah barisan kedua pemain kami (lelaki), manakala wanita hampir kepada barisan ketiga, jadi kami selesa di peringkat itu,” katanya semalam.
Pada aksi terakhir di Kolej Vajiravudh semalam, Malaysia mengesahkan status selaku kuasa besar rantau ini apabila Sanjay Jeeva melengkapkan kutipan emas keempat.
Dalam aksi final sesama sendiri itu, Sanjay yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menewaskan pilihan kedua, Duncan Lee menerusi kemenangan 6-11, 11-6, 11-5, 11-4 ke atas rakan senegaranya itu.
Terdahulu, Noor Ainaa Amani Ampandi menepati ramalan meraih emas perseorangan wanita apabila berjaya menewaskan rakan sepasukan, Yee Xin Ying 11-7, 12-10, 8-11, 11-4 dalam pertarungan yang memakan masa 35 minit.
Pada Rabu lalu, kem skuasy negara terlebih dahulu menjelmakan dua pingat emas menerusi acara beregu jumbo lelaki dan campuran.
The post Sukan SEA: Skuasy dalam kelas tersendiri appeared first on Kosmo Digital.