Auto Added by WPeMatico

HULU TERENGGANU – Keindahan Sungai Berang berhampiran Kampung Tanjung Putat di sini, yang memiliki kejernihan airnya selain kaya dengan kepelbagai spesies ikan semakin diancam pencemaran akibat aktiviti menuba oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Kegiatan menuba tersebut didakwa semakin menjadi-jadi sejak tiga minggu lalu sehingga turut menjejaskan ternakan ikan dalam sangkar yang diusahakan penduduk setempat.
Seorang penduduk, Ahmad Sulaiman, 70, mendakwa, aktiviti menuba ikan tersebut biasanya berlaku sewaktu air sungai cetek.
“Aktiviti menuba itu bukan sahaja menjejaskan ikan yang ingin mereka tangkap, malah turut mengancam hidupan air lain di sungai berkenaan.
“Saya pernah nampak banyak ikan mati terapung akibat aktiviti tidak bertanggungjawab ini. Ia mengganggu ekosistem Sungai Berang,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Putat di sini semalam.
Sementara itu, seorang pengusaha ikan dalam sangkar, Baharuddin Mat Ali, 65, turut mendakwa, ikan tilapia yang diternaknya turut terjejas akibat aktiviti menuba tersebut.
“Banyak ikan tilapia yang diternak di dalam sangkar mati akibat racun tuba memasuki kawasan penternakan.
“Tidak pasti siapa punya angkara tetapi ia menyebabkan saya mengalami kerugian besar,” dakwanya.
Muhammad Muzauddin Zakaria, 48, yang mengusahakan tapak perkhemahan pula risau periuk nasibnya terjejas akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Katanya, tapak perkhemahannya banyak bergantung dengan aktiviti memancing dan keindahan alam semula jadi Sungai Berang yang popular dengan jolokan ‘The Little Amazon’.
“Saya sudah menerima aduan daripada pelanggan tapak perkhemahan saya tentang pencemaran Sungai Berang akibat kegiatan menuba ini.
“Kaki pancing juga banyak merungut. Harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas sebelum keadaan semakin buruk,” dakwanya.
The post ‘The Little Amazon’ makin rosak, banyak ikan mati appeared first on Kosmo Digital.