Auto Added by WPeMatico

KUALA SELANGOR – Seorang remaja perempuan dan neneknya cedera selepas tercampak setelah motosikal dinaiki mereka dilanggar kenderaan di Jalan Ban 3, Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.28 pagi itu, kedua-duanya berusia 16 dan 71 tahun terselamat apabila hanya mengalami kecederaan ringan di kepala, tangan dan kaki.
Insiden berkenaan tular di media sosial menerusi video berdurasi lebih satu minit yang turut memaparkan pembonceng motosikal itu tidak sedarkan diri akibat pelanggaran itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
Katanya, pemandu kereta jenis Bezza yang merupakan wanita berusia 26 tahun dalam perjalanan ke Ipoh, Perak dengan melalui laluan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati perlanggaran berlaku ketika motosikal ditunggangi remaja perempuan itu secara tiba-tiba menukar laluan untuk memasuki simpang kanan.
“Akibat jarak yang dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja, nenek cedera tercampak motosikal dilanggar kereta appeared first on Kosmo Digital.