Auto Added by WPeMatico

IPOH – Polis telah merakam percakapan 18 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, Gerik kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keterangan yang diambil membabitkan 13 pelajar UPSI, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Perodua Alza, pemilik kamera papan pemuka (dashcam) dan dua doktor forensik Hospital Gerik.
Katanya, setakat ini pihaknya belum mengambil keterangan pemandu bas dan pembantunya yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping.
“Siasatan terperinci kes ini sedang dijalankan melibatkan beberapa agensi lain seperti Puspakom, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kimia, Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara.
“Setakat ini, kita hanya menerima satu dashcam dan rakaman itu akan dihantar ke bahagian forensik polis di Bukit Aman untuk dianalisis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, reman terhadap pemandu bas akan dijalankan selepas lelaki berusia 39 tahun itu selesai mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang dari hospital.
“Sehingga hari ini, 15 mangsa masih menerima rawatan di mana lapan pelajar di Hospital Taiping, dua pelajar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan tiga penumpang Perodua Alza di Hospital Baling,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: Polis rakam keterangan 18 saksi appeared first on Kosmo Digital.