Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Laporan berita sebuah portal sebagai pencetus kepada polemik dan kontroversi sejak beberapa hari lalu membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, laporan berkenaan yang didakwanya menggunakan petikan selektif itu dibuat bagi membentuk persepsi negatif ke atas pemimpin.
Katanya, laporan tersebut telah mentafsirkan satu penegasan tanpa konteks sebenar kononnya Malaysia tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
“Tafsiran editorial inilah yang mengukuhkan persepsi bahawa Muhammad Sanusi sedang mempersoalkan kedudukan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Sanusi ketika berucap pada satu ceramah di Jempol dilapor berkata orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain, manakala kaum India, Cina, Kemboja dan Thailand masing-masing mempunyai negara yang dikaitkan dengan etnik mereka.
Jelas Ahmad Fadhli, kesalahan laporan portal itu juga terletak pada pemilihan tajuk, tafsiran editorial dan kegagalan memasukkan konteks yang dapat membezakan antara tuntutan identiti sejarah Melayu dengan dakwaan bahawa rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India tidak memiliki Malaysia.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, konteks ucapan Sanusi yang juga Pengarah Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu sepatutnya perlu dilihat dalam konteks menyeluruh.
Katanya, rakaman tersebut menunjukkan bahawa beliau meletakkan kenyataan tersebut dalam perbincangan tentang sejarah Tanah Melayu, kuasa politik dan ekonomi Melayu serta keperluan Pas dan UMNO bekerjasama.
“Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu mampu hidup aman bersama masyarakat berbilang kaum dan tidak mengganggu peniaga Cina dalam komuniti Melayu,” ujarnya.
Justeru katanya, penyelesaian yang baik ke atas isu ini boleh dibuat melalui tiga tindakan, iaitu portal berkenaan menjelaskan konteks laporan, Sanusi menerangkan maksudnya secara terus dan semua pihak menilai rakaman penuh sebelum membuat tuduhan.
“Kebebasan media perlu dipertahankan, tetapi kebebasan itu mesti disertai dengan ketepatan, konteks dan akauntabiliti. Begitu juga kebebasan berpolitik mesti disertai dengan kecermatan di dalam bertutur kata.
“Dalam masyarakat majmuk, satu tajuk yang tidak seimbang dan satu ungkapan yang kurang cermat sama-sama boleh mencetuskan salah faham,” ujarnya. – UTUSAN
The post Gagal fahami konteks cetus salah faham ucapan Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.


