Auto Added by WPeMatico

![]()
PARIT – Suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan seorang wanita warga emas di Taman Desa Aman, Ipoh didapati mempunyai sejarah menerima rawatan kesihatan mental sebelum ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 52 tahun itu pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa tin minuman keras.
“Sampel darah suspek telah dihantar untuk analisis lanjut,” katanya pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Modul Trend Terkini Jenayah Komersil di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun suspek dan mangsa tinggal berhampiran, kedua-duanya tidak mempunyai hubungan rapat sebaliknya hanya jiran di lorong berbeza dengan jarak kira-kira 50 meter.
Katanya, setakat ini siasatan mendapati kedua-dua mereka tidak saling mengenali antara satu sama lain.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi buat masa ini.
“Suspek akan direman sehingga 9 April ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisam berkata, pihaknya mengesahkan siasatan berhubung dakwaan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang didakwa menerima ‘wang kopi’ seperti yang tular baru-baru ini telah selesai di peringkat kontinjen dan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan telah dilengkapkan sebelum kertas siasatan dimajukan bagi arahan selanjutnya.
“Untuk kontinjen Perak, siasatan kes ini telah selesai dan kita telah majukan ke Bukit Aman untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, antara aspek yang diteliti termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta pelaksanaan tugas Unit MPV di lapangan.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang anggota polis dipercayai menerima wang daripada seorang lelaki di tepi jalan, sekali gus mencetuskan dakwaan salah laku. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas maut ditetak: Suspek pernah dirawat di Hospital Bahagia appeared first on Kosmo Digital.
