Auto Added by WPeMatico

TEL AVIV – Israel mengurangkan kehadiran tentera di Gaza untuk mengukuhkan sempadan utara dan timurnya berikutan kebimbangan kemungkinan serangan daripada kumpulan-kumpulan proksi Iran, lapor akhbar Palestine Chronicle semalam.
Bagi mengelakkan percubaan serangan militia pro-Iran, tentera Israel dilaporkan memperkuatkan kehadirannya di sepanjang sempadan dengan Jordan dan Syria.
Situasi itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan penyusupan kumpulan pejuang dari Jordan dan Syria, di samping risiko penglibatan Hizbollah ke dalam pertempuran.
Menurut akhbar Haaretz, kurang separuh daripada bilangan askar yang ditempatkan di Gaza sebelum permusuhan dengan Iran bermula, dijangka kekal di wilayah Palestin tersebut.
Seorang pegawai pertahanan Israel berkata, keputusan itu berpunca daripada kebimbangan bahawa proksi serantau Iran boleh membantu Tehran dalam konflik tersebut.
“Matlamat jangka pendek adalah untuk menggagalkan sebarang percubaan serbuan ke atas komuniti Israel atau infrastruktur ketenteraan berhampiran pagar sempadan,” katanya.
Sabtu lalu, tentera Rejim Zionis mengisytiharkan bahawa Iran menjadi sasaran utama perang Israel, manakala Gaza yang kedua.
Walaupun Hizbollah setakat ini menyatakan sokongannya kepada Iran, Haaretz melaporkan, perisikan Israel belum mengesan sebarang aktiviti operasi yang menunjukkan bahawa kumpulan itu sedang bersedia untuk menyertai perang.
Bagaimanapun, kumpulan-kumpulan yang beroperasi di Iraq, Syria, dan Yemen digambarkan sebagai ‘sumber kebimbangan yang semakin meningkat.’ – AGENSI
The post Israel undur tentera di Gaza, hadapi serangan militia pro-Iran appeared first on Kosmo Digital.