Auto Added by WPeMatico

![]()
CYBERJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, lapan lagi anggota bomba dihantar ke lokasi pencarian pagi ini bagi membolehkan proses penggiliran petugas dilaksanakan.
Katanya, seramai 50 anggota daripada pelbagai agensi kini berada di lokasi bagi membantu operasi SAR yang masih diteruskan.
“Berdasarkan pengalaman pasukan penyelamat dan keadaan persekitaran di kawasan gunung yang berbeza daripada operasi di laut, masih belum tiba masanya untuk membuat keputusan menghentikan pencarian.
“Operasi pencarian masih diteruskan dan akan terus dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Program Qurban Kasih Bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JBPM dan Parlimen Sepang di sini, hari ini.
Menurut Nor Hisham, pasukan SAR akan terus memantau perkembangan semasa dan meneruskan usaha mengesan mangsa berdasarkan penilaian operasi yang dijalankan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE
The post Lapan lagi anggota bomba dihantar cari Jaslinda appeared first on Kosmo Digital.
