Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – “Saya tak nampak apa-apa kontroversi, itu hanya satu cadangan untuk mengadakan kajian untuk melihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak”.
Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berhubung Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia merupakan satu kajian awal yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan seharusnya tidak diperbesarkan.
Beliau berkata, konsep pemilihan Datuk Bandar bukan perkara baharu dan ia merupakan sebahagian usaha memperkukuh demokrasi serta meningkatkan akauntabiliti dalam pemilihan Datuk Bandar.
“Saya lihat ini bukan isu DAP, ramai pihak lain turut memberi cadangan termasuk Khairy Jamaluddin, beliau secara terbuka menyatakan Kuala Lumpur sepatutnya ada pemilihan Datuk Bandar supaya ada lebih banyak akauntabiliti.
“Ramai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur juga menyokong usaha kearah pendemokrasian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), hari ini.
Anthony Loke berkata, DBKL merupakan sebuah kerajaan tempatan yang besar dan berbeza dengan PBT di negeri-negeri lain yang dilantik oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kerajaan Persekutuan, tanpa sebarang proses pemilihan rakyat.
“Jadi ini yang kita menyatakan bahawa ada usaha untuk kearah pendemokrasian untuk DBKL dan ini hanya satu kajian yang perlu dilakukan untuk melihat kebolehlaksanaannya.
“Tidak perlulah mana-mana pihak cuba polemikkan, perkara ini satu kajian sahaja, jadi kita bincanglah sama ada kelebihan atau kekurangan.
“Perkara ini tidak perlu diperbesar besarkan kerana belum pun dilaksanakan dia hanya setakat satu kajian saja di peringkat DBKL,” katanya.
Sebelum ini, Hannah dilaporkan berkata, kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Katanya, kajian tersebut dijalankan sejak Disember lalu, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan tujuan melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Semalam, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan setakat ini, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd. Akmal Saleh turut berkata tiada keperluan untuk mewujudkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
The post Pilihan Raya PBT bukan isu DAP, ramai Ahli Parlimen sokong appeared first on Kosmo Digital.