Auto Added by WPeMatico
NRES sokong operasi penguatkuasaan Ramsar Tasik Bera

![]()
KUANTAN – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyokong usaha Kerajaan Negeri Pahang menangani isu penerokaan tanpa kebenaran yang melibatkan kawasan seluas lebih 2,212 hektar di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasik Bera melalui Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan khazanah hutan negara terus dipelihara dan diurus secara mampan.
Tegasnya, sebarang aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani secara berhemah dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengelakkan kesan terhadap keseimbangan ekosistem serta habitat hidupan liar di kawasan berkenaan.
“Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Tasik Bera turut diiktiraf sebagai tapak Ramsar yang mempunyai kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi di peringkat antarabangsa.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Ramsar, NRES sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap yang penting ini,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan Tapak Ramsar yang diiktiraf sejak 1994 itu kini berhadapan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara hatam dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.
Pencerobohan itu dipercayai dilakukan oleh dalang atau sindiket berselindung di sebalik nama Orang Asli yang mempergunakan mereka melalui penggunaan isu tanah adat dan juga kawasan rayau etnik itu bagi membuka tanah secara haram.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang bermula 14 September adalah selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus dan perlindungan HSK.
Katanya, pelaksanaan operasi itu juga mengambil kira ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Disember 2021, yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran di dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313.
Jelasnya, NRES turut mengambil maklum bahawa skop operasi bersepadu ini memberikan tumpuan kepada pengosongan binaan pondok operasi, jentera pertanian dan peralatan kerja yang berkaitan dengan aktiviti perladangan komersial tanpa kebenaran.
“Dalam hubungan ini, NRES menekankan kepentingan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan secara teratur, berhemah dan mengambil kira kebajikan serta kesejahteraan komuniti setempat, khususnya masyarakat Orang Asli.
“Kawasan kediaman dan perkampungan sedia ada masyarakat Orang Asli hendaklah terus dihormati dan dilindungi selaras dengan peruntukan undang-undang serta hak dan kepentingan komuniti berkenaan,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, kementeriannya menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam pengurusan dan pentadbiran HSK selaras dengan kerangka perundangan negara.
Justeru katanya, pada masa yang sama, kementerian akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dilaksanakan secara berkesan.
“Kerjasama ini penting dalam mendukung komitmen Kerajaan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.
“Sehubungan itu, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan agensi berkaitan, khususnya dalam aspek penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan serta usaha pemuliharaan dan pemulihan kawasan hutan yang terjejas,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post NRES sokong operasi penguatkuasaan Ramsar Tasik Bera appeared first on Kosmo Online.
