Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 notis advokasi dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur sempena pelaksanaan Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) yang bermula semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kempen berkenaan dijalankan di sekitar jalan-jalan utama ibu negara sebagai usaha mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang trafik.
“Dalam advokasi ini, notis diberikan kepada pengguna yang melakukan kesalahan kecil jalan raya tanpa pengeluaran saman.
“Sehingga semalam, sebanyak 500 helai notis advokasi, 24 notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 126 notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Selain itu katanya, empat kenderaan dikenakan tindakan tunda manakala 24 buah lagi diperiksa.
Fadil menjelaskan, fasa advokasi akan diteruskan dalam tempoh tertentu sebelum tindakan saman sebenar dikuatkuasakan selepas ia tamat.
Beliau menambah, kempen itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama DBKL dan JPJ bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang di jalan raya berada pada tahap terbaik selaras dengan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya moden. – KOSMO! ONLINE
The post 500 notis advokasi dikeluarkan sempena Op PUU di Kuala Lumpur appeared first on Kosmo Digital.