Auto Added by WPeMatico
Apabila angka membentuk persepsi, amanah menjadi taruhan

![]()
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan baru-baru ini bukan sekadar menghuraikan isu berkaitan angka dalam penyata kewangan. Ia mengangkat persoalan lebih mendasar iaitu sejauh manakah masyarakat boleh mempercayai maklumat kewangan yang dibentangkan oleh institusi yang menguruskan amanah awam.
Bagi kebanyakan pendeposit, angka dalam laporan tahunan mungkin rumit dan sukar difahami. Namun, di sebalik kerumitan itu, angka-angka itulah yang menjadi asas kepada keyakinan mereka.
Apabila sesebuah institusi melaporkan keuntungan, masyarakat menganggap kedudukan kewangannya kukuh.
Apabila hibah diumumkan, mereka percaya institusi itu mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi untuk memberikan pulangan kepada pendeposit. Tetapi bagaimana jika gambaran dipaparkan tidak sepenuhnya mencerminkan realiti ekonomi sebenar?
Perakaunan kreatif tidak semestinya merujuk kepada penipuan atau pemalsuan angka secara terang-terangan. Sebaliknya, ia merujuk kepada penggunaan ruang pertimbangan dan kelonggaran yang wujud dalam piawaian perakaunan untuk mempersembahkan prestasi kewangan yang lebih baik daripada keadaan sebenar.
Dalam bahasa lebih mudah, angka mungkin tidak dipalsukan, tetapi kaedah penyusunannya boleh menghasilkan gambaran yang lebih positif berbanding realiti ekonomi sebenar. Inilah antara isu utama yang diketengahkan dalam laporan RCI berhubung Tabung Haji.
Menurut laporan itu, beberapa pendekatan digunakan sehingga kedudukan kewangan TH kelihatan lebih kukuh daripada keadaan sebenar. Antaranya, penggunaan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasi (Realisable Asset Value atau RAV) dalam penilaian aset, kelewatan mengiktiraf kerugian pelaburan yang mengalami kemerosotan nilai serta pengiktirafan pendapatan tertentu yang belum direalisasikan sepenuhnya.
Dari sudut teknikal, isu-isu ini mungkin dilihat sebagai perdebatan profesional dalam bidang perakaunan. Namun, kesannya jauh melangkaui sempadan profesion itu. Apabila kerugian tidak direkodkan pada tempoh sepatutnya, keuntungan dilaporkan akan kelihatan lebih tinggi. Apabila aset dinilai berasaskan andaian yang terlalu optimistik, kedudukan kewangan turut kelihatan lebih baik daripada hakikatnya. Akibatnya, orang ramai menerima gambaran yang tidak selaras dengan keadaan ekonomi sebenar.
Laporan RCI menunjukkan pada hujung 2017, liabiliti TH dilaporkan melebihi nilai asetnya kira-kira RM4.1 bilion. Namun pada masa sama, keuntungan masih dilaporkan dan hibah terus diagihkan kepada pendeposit. Dari perspektif awam, keadaan ini mewujudkan persepsi TH berada dalam kedudukan kewangan stabil. Bagaimanapun, dapatan yang didedahkan kemudian menunjukkan realiti kewangannya jauh lebih kompleks serta memerlukan penilaian lebih menyeluruh.
Bukan Sekadar Laporkan Kejayaan
Kes ini mengingatkan kita kepada satu prinsip asas dalam pelaporan kewangan, iaitu ketelusan bukan sekadar melaporkan pencapaian, tetapi juga mendedahkan cabaran yang sedang dihadapi organisasi.
Dalam dunia kewangan dan pelaburan, kerugian serta kemerosotan nilai aset bukanlah sesuatu luar biasa. Malah, ia sebahagian daripada risiko biasa dalam perniagaan. Perkara yang lebih penting adalah bagaimana maklumat itu diiktiraf, dilaporkan dan dikomunikasikan kepada pihak berkepentingan.
Apabila masalah kewangan dikenal pasti serta dilaporkan tepat pada masanya, pihak pengurusan, pengawal selia dan masyarakat mempunyai peluang memahami keadaan sebenar dan mengambil langkah pembetulan sewajarnya. Sebaliknya, apabila gambaran penuh masalah hanya diketahui setelah keadaan menjadi serius, usaha pemulihan lazimnya menjadi sukar dan menelan kos lebih tinggi, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi reputasi.
Oleh itu, pengajaran utama daripada kes TH ini bukanlah tentang kewujudan kerugian semata-mata. Sebaliknya, ia berkaitan keperluan memastikan laporan kewangan sentiasa memberikan gambaran yang benar dan saksama (true and fair view). Kejujuran dalam pelaporan mungkin sukar dan tidak popular dalam jangka pendek. Namun ketelusan konsisten adalah asas kepada kredibiliti sesebuah institusi dalam jangka panjang.
Apa yang menjadikan kes TH begitu signifikan adalah institusi ini bukan sekadar organisasi perniagaan. Ia menguruskan simpanan jutaan umat Islam yang bukan sahaja untuk tujuan kewangan, tetapi juga bagi memenuhi cita-cita menunaikan ibadah haji.
Hubungan antara pendeposit dan institusi ini tidak dibina semata-mata atas pertimbangan pulangan pelaburan. Ia dibina atas asas kepercayaan dan amanah. Justeru, persoalan mengenai ketelusan pelaporan kewangan memberi kesan yang jauh lebih besar berbanding organisasi komersial biasa.
Pengajaran yang paling penting daripada isu ini adalah tadbir urus yang baik tidak boleh bergantung kepada pematuhan teknikal semata-mata. Sesuatu tindakan mungkin memenuhi kehendak peraturan dari sudut literal, tetapi masih gagal memenuhi semangat akauntabiliti yang menjadi asas kepada pengurusan dana awam.
Dalam konteks ini, integriti bukan sekadar mematuhi piawaian perakaunan, tetapi memastikan setiap keputusan dan pelaporan dibuat dengan memberikan gambaran jujur kepada pihak berkepentingan.
Akhirnya, laporan kewangan bukan sekadar dokumen yang sarat dengan angka dan analisis. Lebih daripada itu, ia cerminan tahap integriti, akauntabiliti dan ketelusan institusi. Namun, apabila angka dimanipulasi untuk membentuk persepsi yang tidak selari dengan keadaan sebenar, kepercayaan itu akan terhakis sedikit demi sedikit.
Kerugian kewangan mungkin boleh dipulihkan dan nilai aset yang merosot masih berupaya dibangunkan semula, bagaimanapun, kehilangan keyakinan masyarakat adalah kerugian jauh lebih besar dan sukar ditebus.
Oleh itu, kepercayaan ini hanya dapat dipelihara apabila prinsip ketelusan, akauntabiliti dan pelaporan jujur diutamakan, mengatasi segala kecenderungan untuk menampilkan angka indah di kertas tetapi tidak mencerminkan hal sebenar.
Dr. Hamezah Md. Nor ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Zuraina Sal Salbila Mohamed ialah Pensyarah Fakulti Perniagaan, Universiti Multimedia.
The post Apabila angka membentuk persepsi, amanah menjadi taruhan appeared first on Utusan Malaysia.

