Auto Added by WPeMatico

TOKYO – Berpuluh-puluh beg tanah tercemar radioaktif dari kawasan berhampiran loji nuklear Fukushima yang terjejas dihantar ke Pejabat Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba hari ini dalam usaha menunjukkan ia selamat untuk digunakan semula.
Tidak lama selepas bencana tsunami pada Mac 2011 dan kebocoran loji nuklear, pihak berkuasa mengikis lapisan tanah tercemar di Fukushima untuk mengurangkan tahap radiasi.
Sebanyak 14 juta meter padu tanah telah disimpan di kemudahan berhampiran loji Fukushima Daiichi, dengan kerajaan menetapkan tarikh akhir 2045 untuk pemindahan ke tempat lain di negara itu.
Kebanyakan tanah yang disimpan mengandungi tahap radiasi rendah menyamai atau kurang daripada satu sinar X-ray setahun bagi orang yang mengambil ujian tersebut atau bekerja secara langsung dengannya, kata kementerian alam sekitar.
Bagaimanapun, hanya segelintir penduduk sanggup menerima tanah tercemar itu, mendorong kerajaan mengambil inisiatif menggunakan semula sebahagian tanah tersebut untuk membuktikan ia tidak lagi berbahaya.
Hari ini, pekerja memunggah beg-beg tanah dari sebuah trak di halaman pejabat perdana menteri di pusat bandar Tokyomdengan laporan awal mengatakan ia akan digunakan di taman bunga.
Lapisan tanah biasa sedalam kira-kira 20 sentimeter akan berada di atas tanah dari Fukushima itu, demikian menurut kementerian alam sekitar.
Tinjauan pendapat menunjukkan kerajaan campuran pimpinan Ishiba mungkin hilang majoriti dalam pilihan raya dewan tinggi esok dan sekiranya berlaku, ia mungkin mendorongnya untuk berundur selepas kurang setahun memegang jawatan tersebut. – AFP
The post Tanah tercemar radiasi dihantar ke pejabat PM Jepun appeared first on Kosmo Digital.