Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Pemilik kenderaan tempatan di Selangor yang masih berdegil menyewakan kenderaan milik mereka kepada warga asing di negeri ini tidak lagi akan diberi amaran, sebaliknya terus diheret ke mahkamah.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, motosikal dikenal pasti sebagai kenderaan paling banyak disewakan secara harian, mingguan dan bulanan kepada warga asing dengan kadar tertentu.
“Rata-rata warga asing menyewanya bagi kegunaan perniagaan seperti menjual makanan, membawa tong gas dan besi buruk. Tindakan itu bukan saja membahayakan pengguna jalan raya malah menyalahi undang-undang. Pemilik tempatan terlibat akan terus dihadapkan ke mahkamah tanpa kompromi,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Selangor, Padang Jawa di sini, petang ini.
Menurutnya, seramai 239 warga asing telah diambil tindakan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di negeri ini sepanjang tempoh Januari lalu hingga semalam.
“Empat kesalahan utama yang dikesan melibatkan tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM), lesen vokasional (GDL) dan perlindungan insuran. Dalam tempoh sama, sebanyak 304 kenderaan diambil tindakan dengan 95 daripadanya disita bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, pemilik, majikan dan syarikat pengangkutan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang kesalahan dilakukan pemandu yang memandu kenderaan mereka termasuk warga asing.
“Pemilik berdaftar kenderaan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 109 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Berdasarkan Seksyen 64 akta sama, JPJ turut berkuasa menyita kenderaan jika pemandu warga asing didapati tiada lesen memandu yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada lagi amaran, terus ‘heret’ ke mahkamah – JPJ appeared first on Kosmo Digital.
