Auto Added by WPeMatico

![]()
LIVERPOOL – Kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam sedikit meredakan tekanan dihadapi pengurus, Arne Slot susulan aksi hambar sebelum ini.
Pada perlawanan itu, The Reds meledak dua gol menerusi jaringan Mohamed Salah dan Ryan Gravenberch untuk kembali mendapatkan rentak kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Lebih manis, kemenangan itu turut menyaksikan Salah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjaringkan gol ke-250 bersama The Reds sejak menyertai pasukan itu daripada AS Roma pada 2017.
“Satu perasaan yang cukup hebat kerana dapat menjaringkan jumlah gol seperti ini buat pasukan seperti Liverpool. Bagaimanapun, ia tidak membuatkan saya berasa mudah selesa dan akan terus bekerja keras.
“Sudah tentu bangga dan gembira dapat melakukan pencapaian seperti ini. Ditambah pula dapat membantu pasukan mencatat kemenangan, ia merupakan sesuatu yang sangat istimewa,” kata pemain Mesir itu.
Tambah Salah, dia gembira dengan keputusan tersebut kerana berjaya meletakkan Liverpool kembali ke landasan sebenar, lebih-lebih lagi mereka mengharungi tempoh cukup sukar dalam beberapa perlawanan terdahulu.
“Kemenangan ini sangat penting kerana kami berdepan beberapa kekalahan dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah. Saya gembira kerana kami sudah kembali landasan sebenar dan ia perlu dikekalkan,” ujarnya. – AGENSI
The post EPL: Sejarah baharu Salah di Liverpool appeared first on Kosmo Digital.