Auto Added by WPeMatico

TEMPOH tiga hari sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M), hujung minggu ini menjadi detik paling kritikal buat semua pemain yang bakal membawa cabaran kelab masing-masing.
Selepas aksi pertama Liga Super yang akan bermula minggu ini, pemain akan memiliki empat lagi perlawanan termasuk satu perlawanan Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos ini.
Selain misi memacu kejayaan pasukan, pemain juga perlu mengalih fokus untuk memikat perhatian pengendali negara, Peter Cklamovski untuk dipilih ke kem latihan pusat bagi hadapi dua persahabatan menentang Singapura dan Palestin.
Tempoh yang ada wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pemain tempatan untuk persiapkan diri khususnya dalam aspek pemahaman terhadap taktikal jurulatih dan meningkatkan tahap kecergasan.
“Saya ada keyakinan yang Malaysia mempunyai pemain berbakat dan saya agak bertuah untuk menyaksikan banyak perlawanan di Liga Super. Saya dapat melihat bakat yang ada termasuk juga membabitkan pemain muda.
“Saya fikir ada ruang untuk kita hubungkan dan beri peluang kepada pemain muda untuk berkembang. Jika kita fokus untuk perbaiki semua perkara ini, ia adalah sesuatu yang lebih baik buat pasukan negara pada masa akan datang,” kata Cklamovski.
Saingan musim 2025/26 akan dimulakan dengan aksi Piala Sumbangsih antara juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.
Harapan peminat pastinya menjurus untuk melihat lebih ramai pemain tempatan ikut jejak Arif Aiman Hanapi yang mampu menembusi kesebelasan utama skuad kebangsaan yang kini sudah pun diperkuatkan oleh bintang warisan gred A.
Selain kehadiran import berkualiti, antara pemain tempatan yang dijangka akan dapat perhatian adalah bekas pemain K.V. Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin yang kini menyarung jersi Negeri Sembilan.
The post Cklamovski semakin tidak sabar appeared first on Kosmo Digital.