Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Lelaki yang memandu melawan arus di Jalan Klang Lama seperti video tular semalam ditahan polis selepas tampil menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, suspek berusia 32 tahun itu hadir ke pejabat JSPT kira-kira pukul 8.35 malam, semalam sebelum ditahan.
Menurutnya, sebelum itu pihak polis telah pergi ke beberapa alamat kediaman yang diperoleh termasuk rumah keluarga suspek, namun gagal mengesannya.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak memandu secara melawan arus kerana tersalah jalan untuk menghala ke Mid Valley,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan pernafasan (EBA) dan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu negatif alkohol dan dadah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada hari ini kira-kira pukul 9 pagi,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan polis sedang mengesan pemandu berkenaan selepas video kejadian memandu melawan arus di Jalan Klang Lama tular di media sosial.
Siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 9.44 pagi melibatkan laluan dari persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Sepadu hingga ke persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Kuchai Lama sejauh kira-kira 500 meter. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lawan arus Jalan Klang Lama ditahan, dakwa sesat ke Mid Valley appeared first on Kosmo Digital.
