Auto Added by WPeMatico

![]()
SEPANG – Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun bakal menunaikan rukun Islam kelima buat kali kedua pada musim haji tahun depan.
Menurut Hafiz, yang pernah mengerjakan haji kali pertama pada 2016, bersyukur kerana impiannya untuk menunaikan haji di bawah pengurusan Tabung Haji terlaksana.
“Semasa kali pertama saya mengerjakan haji pada 2016 adalah menerusi visa Furada. Pengalaman saya berbeza kerana tidak bersama pengurusan Tabung Haji.
“Selalu artis ditawar ikut serta dalam umrah, haji sangat jarang kita dengar kerana kuota sangat terhad. Jadi, apabila saya mendapat tawaran, ini adalah peluang yang tidak akan saya lepaskan.
“Sama seperti orang lain, sesiapa yang dapat tawaran kalau boleh jangan lepaskan peluang kerana ini mungkin tawaran pertama dan terakhir kerana sekarang syarat mengerjakan haji sangat ketat,” ujarnya.
Perkara tersebut dikongsi Hafiz selepas diumumkan sebagai wajah rasmi pakej haji 2026 di bawah syarikat Jay Ibrahim Al Islam, salah sebuah daripada 31 syarikat Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik secara rasmi oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun hadapan.
Dilantik sebagai wajah rasmi salah sebuah syarikat PJH, Hafiz rasa terpanggil untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak tertipu dengan syarikat yang tidak diberi lesen sebagai PJH.
“Ini juga tanggungjawab saya. Banyak kali kita dengar orang ditipu, jemaah tersadai di lapangan terbang kerana syarikat yang kononnya akan bawa mereka tidak mendapat lesen sebagai pengelola jemaah haji.
“Oleh itu, saya menyeru selain pakej di bawah Tabung Haji, bakal jemaah boleh memilih mana-mana syarikat yang mendapat lesen PJH tahun ini. Selain daripada itu, janganlah percaya,” tutur Hafiz.
Bercakap tentang debaran mengerjakan haji, Hafiz berharap proses untuk mengerjakan haji tahun ini berjalan dengan lancar kerana sudah berpengalaman sebelum ini.
“Apa yang penting saya harus memastikan badan kekal fit dan sihat kerana buat haji kita perlu banyak berjalan. Bayangkan 3 juta jemaah bergerak serentak, jadi harus sihat.
“Walaupun saya sudah ada pengalaman sebelum ini, tetapi dengan perubahan peraturan semakin ketat dan kemudahan semakin ditambah, pasti berbeza untuk saya. Apapun saya sudah bersedia,” tutur Hafiz.
Sebagai syarikat PJH berlesen, Jay Ibrahim Al Islam menyediakan pakej haji yang merangkumi bimbingan intensif sebelum berangkat, mutawwif berpengalaman, penginapan yang selesa di Tanah Suci, sokongan kebajikan berterusan serta pengurusan logistik menyeluruh.
Orang ramai yang berhajat menunaikan haji pada tahun 2026 digalakkan membuat pendaftaran awal bagi memastikan tempat dan penyediaan bimbingan persediaan haji berjalan lancar. – KOSMO!ONLINE
The post ‘Takkan saya lepaskan..’ – Hafiz Hamidun bakal naik haji kali kedua appeared first on Kosmo Digital.