Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat koperal yang sudah digantung tugas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamun dan percubaan merompak dua individu termasuk seorang wanita pada November lalu.
Tertuduh, Mohd. Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad dan Majistret Rais Imran Hamid.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34, semasa berada di sebuah kedai runcit di Kampung Kemumin, Jalan Sabak di sini kira-kira 10.30 malam pada 7 November 2025.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada setiap bulan.
Nur Sarah Syamimi dalam rayuannya memohon ikat jamin RM10,000 dengan alasan tertuduh yang sudah ditahan kerja sejak 2023 ketika ini bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sebanyak RM30 hingga RM50 sehari.
“Tertuduh juga menanggung seorang isteri yang merupakan seorang jururawat dan dua anak berusia 11 dan 17 tahun. Isterinya juga menghidap kanser ovari tahap tiga yang memerlukan rawatan susulan di hospital,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu setiap bulan melapor diri di IPD Kota Bharu dan menyerahkan pasport.
Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Di Mahkamah Majistret, Mohd. Irfan Azieyadi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan percubaan rompak terhadap seorang lelaki warga asing, Rahman Ubaid di depan sebuah rumah di Jalan Tok Kenali di sini kira-kira pukul 5.15 petang pada 12 November lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili dua peguam yang sama.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM7,500 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh atau mana-mana ejennya dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan kedua-dua mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota polis digantung tugas didakwa samun, cuba rompak dua mangsa appeared first on Kosmo Digital.
