Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Sistem loceng diperkenalkan di Balai Polis Meru sebagai langkah keselamatan bagi mengehadkan akses masuk orang ramai selepas 12 tengah malam susulan insiden pergaduhan di balai berkenaan, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan anggota bertugas serta orang awam sentiasa terjamin.
Menurut beliau, balai polis tersebut terletak di deretan kedai dan tidak berpagar seperti kebanyakan balai lain, sekali gus memerlukan kawalan tambahan terutama pada waktu lewat malam.
“Pintu utama balai akan ditutup selepas tengah malam dan individu yang ingin membuat laporan perlu menekan loceng bagi mendapatkan akses masuk.
“Kita juga menempatkan sekurang-kurangnya dua anggota bertugas selain memantau keadaan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya ketika ditemui pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Kapar di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Balai Polis Meru pada 2 Mac lalu yang dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan.
Susulan kejadian itu, seramai lapan lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan dengan kesemua mereka didapati saling mengenali dan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. – KOSMO! ONLINE
The post Insiden gaduh: Balai Polis Meru perkenal sistem loceng appeared first on Kosmo Digital.
