Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru hari ini bagi membincangkan pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Sultan Ibrahim dipersembahkan beberapa perkara berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor selepas berlangsungnya PRN, termasuk hala tuju pentadbiran serta perancangan pembangunan negeri.
Baginda turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Johor yang telah diberi mandat oleh rakyat dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berintegriti serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap dasar dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Johor.
Pada PRN Johor Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk terus mentadbir negeri itu.
Susulan kemenangan tersebut, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan melantik semula Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut, Ahad lalu selepas beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Onn Hafiz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, sebelum ini pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada Mac 2022 selepas BN memenangi PRN Johor Ke-15.
Beliau kemudian mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua di hadapan Sultan Johor di Istana Bukit Serene, Ahad lalu.
Dengan pelantikan semula Onn Hafiz, perhatian kini tertumpu kepada pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin komponen BN termasuk MIC Johor memaklumkan mereka menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar untuk menentukan barisan Exco, manakala pelbagai pihak menjangkakan gabungan muka lama dan baharu akan menganggotai pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Agong terima mengadap Onn Hafiz, bincang hala tuju pentadbiran Johor appeared first on Kosmo Digital.
