Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA PILAH – Kementerian Kesihatan (KKM) kini memberi tumpuan kepada pembinaan tiga hospital baharu, selain memperkukuh fasiliti sedia ada bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tiga projek hospital yang sedang dalam perancangan dan pelaksanaan itu ialah Hospital Petra Jaya di Kuching, Sarawak, Hospital Sultanah Aminah (HSA 2) di Johor Bahru, Johor, serta Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Seremban, Negeri Sembilan.
Menurut beliau, Hospital Petra Jaya dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini selepas mengalami beberapa kelewatan dalam tempoh pembinaannya.
“Hospital Petra Jaya merupakan antara projek yang telah lama dirancang dan dibina. Walaupun berdepan lanjutan masa, kita harap ia dapat disiapkan sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Hospital Sultanah Aminah 2 kini berada dalam proses tender, manakala projek Hospital Tuanku Ja’afar 2 baru sahaja diluluskan untuk perolehan tapak.
Menurutnya, buat masa ini, tiada perancangan untuk membina hospital baharu selain tiga projek berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post KKM fokus bina tiga hospital baharu, perkukuh fasiliti sedia ada appeared first on Kosmo Digital.
