Auto Added by WPeMatico

PEKAN – Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Batu 8 Lepar di sini semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Jamal Azizul Samat,44, dan isterinya Lizawati Abdullah,41, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan manakala tiga anak mereka berumur 17, 15 dan enam tahun mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian kira-kira pukul 10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Segamat.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori di arah bertentangan.
“Akibat kejadian pemandu dan seorang penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpang kereta mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya penumpang lori tidak mengalami kecederaan manakala dua kelindan lori mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri maut, tiga anak cedera Proton Wira bertembung lori appeared first on Kosmo Digital.