Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Proses temu duga dan pengambilan guru tetap dilaksanakan sebanyak dua kali setahun, mulai tahun ini bagi mengatasi masalah kekosongan guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan turut membuka sistem permohonan sepanjang tahun bagi mempercepat penempatan guru.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited dalam mengisi kekosongan guru di sekolah rendah dan menengah seluruh negara bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Sebagai langkah memastikan kekosongan guru tidak menjejaskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah, KPM melaksanakan penempatan guru secara interim dan penempatan semula secara bersasar.
“Selain itu, KPM sudah menubuhkan Sekretariat Bersama KPM-KPT yang berperanan menyelaras data unjuran keperluan guru secara bersepadu agar pengeluaran graduan pendidikan oleh universiti awam dan institut pendidikan guru dapat memenuhi keperluan sebenar di sekolah.
“KPM sentiasa melaksanakan langkah sewajarnya dan menyeluruh bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman sentiasa terjamin,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai jumlah guru (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) yang bersara wajib dan bersara awal di Sarawak setiap tahun sejak 2020 hingga kini dan apa langkah diambil oleh Kementerian bagi mengisi kekosongan guru dengan segera jika berlaku kekosongan.
Fadhlina berkata, seramai 4,737 orang guru bersara wajib bagi tempoh 2020 hingga 2025 di Sarawak.
“Daripada jumlah berkenaan, seramai 737 orang guru bersara wajib pada 2020; 774 orang guru (2021); 650 orang guru (2022); 664 orang guru (2023); dan 789 orang guru pada 2024.
“Bilangan guru di Sarawak yang bersara awal dari 2020 hingga 2024, secara purata adalah seramai 241 orang setahun,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Sarawak, katanya, KPM sudah pun melaksanakan urusan pengambilan khas pada 2024.
“Seramai 1,068 orang guru berjaya dilantik dalam urusan pengambilan khas itu danmelapor diri ke sekolah bermula 13 Februari 2025,” katanya.- KOSMO! ONLINE.
The post Temu duga pengambilan guru tetap 2 kali setahun appeared first on Kosmo Digital.