Auto Added by WPeMatico

![]()
SEPANG – Laporan awal berhubung tragedi bot karam membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia-Thailand dekat Pulau Langkawi akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta beliau untuk membentangkan laporan awal berkenaan insiden tersebut.
Pada masa sama, beliau turut merujuk insiden yang berlaku itu sebagai satu tragedi besar, selain berkemungkinan melibatkan jenayah terancang seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Itu satu tragedi yang saya kena bentangkan esok, laporan awal kepada (mesyuarat) Jemaah Menteri. Saya diminta Perdana Menteri untuk menyampaikan, sebab ini barang kali melibatkan jenayah terancang (iaitu) pemerdagangan manusia dan penyeludupan, segala macam (kes).
“Kita (akan) tengok semua kemungkinan itu kerana Langkawi adalah destinasi popular. Sejak 2010 sehingga sekarang lebih kurang 2,300 rekod pendaratan, ada yang selamat, ada yang meninggal,” katanya ketika berucap merasmikan PDRM Special Dialogue IV 2025 di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, seramai 177 anggota keselamatan terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerahkan menerusi operasi mencari dan menyelamat.
Terdahulu media melaporkan, sembilan daripada 26 mangsa bot karam yang maut di perairan Langkawi selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), setakat semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Laporan awal bot PATI karam dibentang esok appeared first on Kosmo Digital.