Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Hasrat seorang pelajar cemerlang untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan agak samar apabila disahkan menghidap ketumbuhan otak.
Nurfatimah Jeffri, 16, kini terlantar di katil dan tidak mampu berjalan, duduk dan bercakap.
Pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Melaka itu cemerlang dalam pembelajaran dan sentiasa berada di kedudukan terbaik dalam kelas, kini hanya bergantung kepada tiub untuk makan dan minum susu khas.
Ibunya, Noorfadillah Mohd. Rashid, 49, berkata, keadaan itu berlaku selepas menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 19 Jun lalu.
Katanya, sebelum itu anak ketiga daripada empat beradik itu mula mengadu sakit kepala Mei lalu sebelum pemeriksaan awal di klinik mengesyaki resdung dan alahan kucing.
“Namun, hasil imbasan CT scan (imbasan tomografi berkomputer) di Hospital Melaka pada 1 Jun lalu mendapati terdapat air di kepalanya sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkannya.
“Bagaimanapun, imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) kemudian mengesahkan terdapat ketumbuhan, menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Tengku Azizah, Kuala Lumpur sebelum ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pembedahan selama 11 jam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Semabok Jaya di sini baru-baru ini.
Nooradillah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah berkata, selepas pembedahan, anaknya terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lapan hari akibat jangkitan kuman di paru-paru selain mengalami sawan sehingga memerlukan tiub pernafasan di leher.
Katanya, dia terpaksa mengambil cuti enam bulan sejak 14 Jun lalu dengan menerima separuh gaji semata-mata untuk menjaga anaknya sepenuh masa.
“Doktor sarankan saya beli mesin sedut kahak berharga hampir RM3,000, tetapi saya tak mampu. Saya beli mesin RM400 yang perlu disambung elektrik.
“Kahak anak saya perlu disedut setiap setengah jam, kalau dalam perjalanan ke HKL saya terpaksa berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk cari plug bagi menyambung mesin,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Jeffri Zainon, 54, berkata, dia memerlukan hampir RM3,000 sebulan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang, peralatan perubatan serta kos perjalanan berulang-alik ke Kuala Lumpur.
“Jumlah kos ditanggung sejak rawatan bermula termasuk sewa rumah, parkir dan peralatan mencecah RM10,000. Sekarang kami tiada pendapatan tetap, hanya bergantung pada separuh gaji isteri bagi menampung kos perubatan dan sara hidup.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7629805198 atas nama Jeffri Zainon atau hubungi 011-1541 2116.
The post Anak harapan keluarga terlantar hidap ketumbuhan otak appeared first on Kosmo Digital.