Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman diperintah membayar RM250,000 kepada vateran politik Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung fitnah hutang pelaburan puluhan juta ringgit di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Abdul Kadir selaku plaintif terhadap Aliff Syukri selaku defendan.
Selain RM250,000, mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos sebanyak RM50,000.
“Defendan sama ada pegawai atau ejennya dihalang menerbitkan perkara yang diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan yang sama. Defendan juga sama ada melalui khidmat atau ejennya menghapuskan libel daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari daripada perintah ini,” kata Hakim Roslan.
Sepanjang perbicaraan Abdul Kadir diwakili peguam T. Dheenish manakala Aliff Syukri diwakili peguam Mohd. Tajudin Abd Razak.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Abdul Kadir dan Aliff Syukri tidak hadir dan kedua-duanya mewakilkan peguam masing-masing.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – KOSMO! ONLINE
The post Aliff Syukri diperintah bayar RM250,000 kepada Kadir Sheikh Fadzir appeared first on Kosmo Digital.
