Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kira-kira 8,484 kes penipuan tawaran kerja sambilan direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Disember 2025.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 146 peratus atau 5,033 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Jumlah kerugian yang direkodkan pada 2025 adalah berjumlah RM202 juta berbanding RM118 juta pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan bernilai RM83.75 juta atau kira-kira 70 peratus.
“Peningkatan ini menunjukkan bahawa jenayah penipuan berkenaan bukan sahaja semakin berleluasa, malah memberi kesan kewangan yang besar kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, hasil siasatan mendapati sindiket penipuan lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Sindiket kemudian meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan atau pemindahan wang ke akaun keldai (mule account).
“JSJK ingin menegaskan bahawa tiada majikan yang sah akan meminta bayaran pendahuluan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Rusdi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.
Katanya, pihak JSJK juga akan terus mempergiatkan usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah sedemikian.
“Orang ramai yang mengesyaki diri mereka terlibat atau menjadi mangsa sebarang bentuk penipuan, khususnya berkaitan tawaran pekerjaan sambilan, disarankan supaya segera menghubungi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di talian 997 selain membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Tindakan segera ini amat penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah pantas untuk mengesan, membekukan aliran kewangan yang terlibat serta menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rugi RM202 juta, 8,484 kes tipu tawaran kerja direkodkan appeared first on Kosmo Digital.