Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen penuh untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung kes membabitkan Indira Gandhi, termasuk mempergiat usaha mengesan keberadaan anak serta bekas suaminya, Patmanathan Krishnan @ Muhammad Riduan Abdullah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan individu terbabit giat diteruskan pasukan PDRM.
Beliau berkata, ia termasuk siasatan berhubung dakwaan kewujudan pihak yang dipercayai menggunakan identiti tersebut bagi menerima bantuan kerajaan seperti Budi Madani 95 dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Katanya, semakan turut dijalankan bersama Jabatan Imigresen bagi mengesahkan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) yang masih berkuat kuasa terhadap individu berkenaan.
“Sejak 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh. Sesi pengurusan seterusnya ditetapkan pada 27 Februari 2026.
“Setiap tindakan yang diambil dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.
PDRM turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek tampil membantu dengan menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE
The post Jejak hilang bekas suami Indira Gandhi giat diburu appeared first on Kosmo Digital.