Auto Added by WPeMatico

KUALA KRAI – Muatan tong gas kosong yang dibawa sebuah treler terjatuh ke atas jalan raya selepas kenderaan itu merempuh besi penghadang jambatan kereta api di Jalan Sultan Yahya Petra menghala bandar Kuala Krai, di sini hari ini.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 3.21 petang itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, sebuah treler dengan ketinggian 4.3 meter membawa muatan sebanyak 950 buah tong gas kosong sedang dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu ke Seremban, Negeri Sembilan.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, treler itu dipercayai merempuh besi penghadang jambatan kereta api di Jalan Sultan Yahya Petra menghala bandar Kuala Krai.
“Had ketinggian yang dibenarkan untuk kenderaan melalui jalan berkenaan adalah 4.1 meter.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, namun sebiji tong gas yang jatuh melantun ke pintu sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, pemandu treler itu disaman mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan penjara selama tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan.
Menurutnya, pihak polis turut menggesa pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad untuk mengambil tindakan segera terhadap penghadang jambatan itu kerana ia merupakan kejadian kali kedua yang berlaku di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Tong gas kosong jatuh, treler rempuh besi penghadang jambatan kereta api appeared first on Kosmo Digital.