Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih yang disyaki aktif mengedar dadah sejak Ogos lalu ditahan polis selepas mereka dikesan membawa 18.5 kilogram bunga ganja di kawasan parkir sebuah kondominium sekitar Jalan Klang Lama, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pasangan berusia 47 dan 56 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.20 petang.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Exora yang dinaiki kedua-duanya menemui bungkusan berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran nilai pasaran RM553,500. Dadah itu dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Lembah Klang dan mampu dibekalkan kepada kira-kira 37,000 pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadil, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan kawasan parkir kondominium sebagai lokasi utama menjalankan urusan jual beli bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif, namun lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau membabitkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1952,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
The post Pasangan kekasih dicekup, ganja bernilai RM553,000 dirampas appeared first on Kosmo Digital.