Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Tindakan segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri sehingga tingkat lapan sebuah bangunan yang dalam pembinaan gagal apabila dicekup pihak berkuasa di Seksyen 13 di, sini hari ini.
Dalam Ops Sasar dilaksanakan Jabatan Imigresen Selangor bermula pukul 10 pagi itu berjaya menahan 62 PATI berusia 23 hingga 44 tahun.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya dengan kesemua PATI telah bekerja lebih enam bulan di tapak pembinaan itu.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati PATI yang ditahan mendakwa telah masuk ke negara ini melalui Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Sewaktu serbuan ada warga asing yang berlari sehingga tingkat lapan bangunan yang dalam pembinaan itu.
“Hasil pemeriksaan terhadap 97 warga asing kemudiannya berjaya menahan 62 PATI termasuk dua wanita ” katanya hari ini.
Kata beliau, mereka yang ditahan turut memberikan alasan bahawa dokumen mereka berada pada simpanan majikan.
Tambahnya, secara pecahannya PATI itu melibatkan 50 warga Bangladesh, Indonesia (7), Myanmar (4) dan seorang warga Pakistan.
“Kesemua yang ditahan dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tujuan reman dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan
39(b) Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lari tingkat 8 bangunan elak dicekup Imigresen appeared first on Kosmo Digital.