Auto Added by WPeMatico

PONTIAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor telah menahan seramai 29 warga asing dalam operasi Ops Gegar di tiga buah pusat hiburan di bandar ini pada tengah malam kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam itu, seramai 69 orang warga tempatan dan warga asing telah diperiksa.
Katanya, tangkapan melibatkan 17 wanita Vietnam, 11 wanita Indonesia dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
“Turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus dan penyelia pusat hiburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, mereka semua ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“Dan seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/ 63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit telah dibatalkan dan Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu mengguna atau tanpa kuasa yang sah memiliki permit, pas dan dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan,” katanya.
Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Peraturan 11(7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial serta peraturan 39(b) iaitu melanggar syarat yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post 29 GRO Indonesia, Vietnam diberkas jual badan dalam pusat hiduran appeared first on Kosmo Digital.