Auto Added by WPeMatico

![]()
PENYANYI popular Britain, Ed Sheeran akhirnya membuka mulut mengenai kontroversi menggugurkan rapper Macklemore dalam konsert jelajahnya, dengan mengakui melakukan kesilapan yang mengundang perhatian dunia.
Sheeran, 35, ketika membuka persembahan solo di Philadelphia, Amerika Syarikat semalam, berkata isu berkenaan meletakkannya di tengah-tengah perdebatan besar mengenai kebebasan bersuara dan konflik Israel-Palestin.
“Saya tidak pernah mahu menjadi pemuzik aktivis, tetapi perkara ini meletakkan saya di tengah-tengah perdebatan penting dan penuh emosi mengenai kebebasan bersuara serta isu politik paling kompleks di dunia.
“Saya terpaksa membuat keputusan sukar dan melakukan kesilapan. Saya benar-benar minta maaf,” katanya ketika tampil di Lincoln Financial Field, semalam iaitu kemunculan pertama selepas kontroversi meletus.
Sesekali penyanyi lagu Thinking Out Loud juga penerima empat trofi Anugerah Grammy itu menyeka air mata sebak ketika menzahirkan perasaannya.
Dalam kenyataan terbuka terbabit, Sheeran menyifatkan serangan diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023 sebagai sesuatu yang mengerikan, selain keadaan di Gaza sebagai tidak boleh dipertahankan.
“Apa yang berlaku di Israel pada 7 Oktober 2023 adalah mengerikan dan menambah penderitaan yang dilalui masyarakat Yahudi selama berabad-abad.
“Situasi di Gaza adalah dahsyat, tidak boleh dipertahankan dan tidak seimbang. Hati saya hancur melihat skala kemusnahan serta kehilangan nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak,” katanya.
Sheeran juga menyentuh mengenai ketidakadilan sistemik yang berlaku di Tebing Barat dengan menegaskan hal tersebut tidak boleh dipandang sebelah mata.
Menurutnya, dia kini cuba memahami bagaimana dapat menyumbang kepada usaha membantu mangsa konflik berkenaan.
“Saya cuba mencari jalan untuk memberi sumbangan bagi membantu mangsa malah berusaha mendengar dan belajar kerana saya tidak tahu banyak perkara secukupnya,” ujarnya.
Kontroversi tercetus selepas Macklemore membuat persembahan yang didedikasikan kepada Palestin pada awal September lalu sebelum menyuarakan sokongan serta menggunakan istilah genosid bagi menggambarkan keadaan di Gaza.
Susulan itu, Macklemore digugurkan daripada jelajah Loop Tour Sheeran, namun Sheeran menegaskan keputusan tersebut dibuat pihak penganjur, bukan dirinya.
Sheeran mengakui kemelut tersebut memberi kesan besar terhadap dirinya sehingga dia sendiri tidak pasti sama patut meneruskan jelajah berkenaan mahupun masih ingin bergelar penyanyi.
“Saya tidak tahu sama ada jelajah ini akan diteruskan atau saya sendiri masih mahu menjadi seorang artis.
“Dalam situasi seperti ini, anda benar-benar mengetahui siapa rakan anda. Ini merupakan minggu yang pelik dan semuanya berlaku terlalu pantas,” ujarnya.
Bagaimanapun, Sheeran berkata kecintaan terhadap peminat menjadi sebab utama dia kembali ke pentas dan meneruskan persembahan.
Penyanyi itu turut menegaskan bahawa persembahannya tidak seharusnya dilihat sebagai tanda sokongan kepada mana-mana pihak dalam konflik berkenaan.
“Konsert saya selama ini sentiasa menjadi ruang selamat untuk semua orang. Saya mahu menjawab persoalan mengenai pendirian saya dalam situasi Israel dan Palestin serta sama ada persembahan saya di sini malam ini bermakna saya berpihak kepada mana-mana pihak.
“Sepanjang kerjaya, saya cuba untuk tidak menjadi pengulas politik kerana saya mahu muzik dan persembahan saya mengenai perpaduan, bukan perpecahan; mengenai kemanusiaan, bukan politik.
“Tetapi ini adalah isu kemanusiaan dan saya tidak boleh lagi menyembunyikan perasaan saya mengenainya,” ulasnya.
Sheeran yang dilihat sebak ketika menyampaikan kenyataan itu turut menegaskan konsertnya akan terus menjadi ruang yang mengalu-alukan semua individu, termasuk mereka yang mempunyai pandangan berbeza.
Dalam pada itu, dia menyatakan kebimbangan terhadap idea bahawa kandungan atau artis perlu mendapat kelulusan awal daripada sesebuah venue sebelum persembahan berlangsung.
Sementara itu, difahamkan kontroversi tersebut turut memberi kesan kepada jelajah Loop Tour yang masih mempunyai beberapa tarikh persembahan di Amerika Utara dan Selatan.
Di luar venue, beberapa penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin, namun persembahan Sheeran tetap berlangsung tanpa gangguan besar.
Terdahulu, penganjur menjelaskan Macklemore digugurkan kerana beberapa venue, termasuk Gillette Stadium di Boston, Massachusetts, enggan membenarkan persembahan berlangsung andai rapper berkenaan turut serta.
Beberapa artis sokongan termasuk penyanyi Ireland, Aaron Rowe, pemuzik Denmark Lukas Graham serta kumpulan Beoga kemudian memilih meninggalkan jelajah Sheeran sebagai tanda solidariti.
Mereka menyifatkan tindakan menggugurkan Macklemore sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan buruk terhadap kebebasan bersuara dalam kalangan penggiat seni. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Maaf, saya tersepit di tengah kemelut paling kompleks dunia’ appeared first on Kosmo Online.
