Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Pahang melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 5,000 huffaz dari seluruh negeri menerusi penganjuran sulung Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pahang malam tadi.
Himpunan terbesar seumpamanya di Pahang itu menjadi manifestasi komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan institusi tahfiz serta memperkasa pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sambil disaksikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahmad Zahid berkata himpunan pada malam ini adalah luar biasa dan bermakna yang menghimpunkan para huffaz daripada seluruh negeri.
“Tidak ada negeri di Malaysia yang adakan himpunan huffaz hanya Pahang yang pertama melakukannya, ini memperlihatkan bumi pahang adalah bumi yang akan mendapat rahmah daripada Allah.
“Darul Makmur bumi bertuah kerana kita ada raja yang sangat prihatin kepada huffaznya, kita juga amat bertuah kerana Menteri Besarnya amat prihatin kepada para huffaz malah saya bersyukur kerana seluruh exco bagi dokongan kepada cita-cita huffaz ini, lebih-lebih lagi cita-cita ini direalisasikan oleh Yayasan Pahang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Huffaz Pahang 2026 di Pekarangan Rumah Pahang Kompleks Yayasan Pahang malam tadi.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai langkah memperkukuh pembangunan pendidikan tahfiz serta memperluas peluang kemahiran kepada golongan huffaz.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata pencapaian institusi tahfiz di bawah kelolaan kerajaan negeri Pahang pada masa ini amat membanggakan.
“Hasil daripada perancangan dan pelaburan yang tersusun ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang telah membuktikan kecemerlangan mereka apabila keputusan SPM 2025 meletakkan institusi tahfiz milik Kerajaan Negeri Pahang ini dalam kelompok empat institusi pendidikan terbaik di Malaysia.
“Ini membuktikan bahawa pendidikan tahfiz dan kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post Himpunan Huffaz Pahang cipta sejarah, himpun 5,000 huffaz appeared first on Kosmo Digital.
