Auto Added by WPeMatico
Rumah Ronald McDonald jadi sandaran ibu bapa anak sakit

PETALING JAYA – Tatkala dunia seakan terhenti di wad kanak-kanak, ada tempat yang menjadi sandaran buat ibu bapa yang berjuang demi nyawa kecil di sisi mereka.
Di sini, Rumah Ronald McDonald (RMH) berdiri teguh memainkan peranan sebagai simbol kasih dan kemanusiaan buat hampir 1,000 keluarga yang memerlukan pada setiap tahun.
Tempat ini menyediakan ruang yang mengembalikan makna ‘rumah’ buat keluarga yang kehilangan rehat, ketenangan, dan kadangkala, harapan.
Sejak 1999, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) telah membina rumah ini sebagai tempat perlindungan selesa buat keluarga pesakit kanak-kanak agar mereka tidak terbeban dengan kos berulang-alik dari rumah ke hospital.
Ia disebabkan lokasi rumah RMH yang kesemuanya terletak di dalam hospital sekali, gus membolehkan ibu bapa berada dekat dengan anak tersayang sepanjang tempoh rawatan.
Ketika pemberita mengunjungi RMH di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) baru-baru ini, suasana positif dan penuh kasih sayang jelas terasa, mencerminkan semangat serta ketabahan keluarga yang menemani anak-anak mereka menjalani rawatan.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Mohd. Nordin berkata, rumah tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menginap, malah dilengkapi pelbagai fasiliti seperti dapur memasak beserta makanan sejuk beku yang disumbang oleh pelbagai syarikat korporat.
Mohd. Nasri juga turut menunjukkan pelbagai fasiliti lain yang tersedia di rumah RMH seperti bilik dobi, surau, taman permainan, mini gimnasium dan ruang makan khas buat semua penghuni.
“Di rumah RMH HCTM UKM ini, terdapat 18 bilik tidur yang dilengkapi penghawa dingin, katil dan bilik air sendiri. Setiap bilik ini mempunyai penyumbangnya tersendiri setiap tahun.
“Jadi, keluarga yang terpilih untuk menginap di rumah ini tidak perlu bayar apa-apa. Mereka (keluarga) menginap dan hanya fokus kepada rawatan anak.
“Setiap bulan, 85 peratus bilik boleh dikatakan penuh kerana ramai keluarga yang memerlukan menginap di sini,” katanya kepada pemberita ketika sesi kunjungan ke rumah tersebut, baru-baru ini.

Selain RMH HCTM UKM, terdapat tiga lagi RMH di seluruh negara iaitu di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
Mohd. Nasri berkata, setiap keluarga akan dirujuk oleh pihak Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR) sebelum datang mendaftar di RMH sekiranya layak dari segi pendapatan keluarga.
Selain itu katanya, pihak hospital juga akan meneliti setiap kes, terutama bagi kanak-kanak yang memerlukan rawatan jangka panjang dan memerlukan ibu bapa berulang-alik ke hospital beberapa kali seminggu.
“Ada kes dimana seorang ibu pernah duduk di sini selama lima tahun, disebabkan anaknya yang sulung dan kedua menghidap kanser serta memerlukan rawatan dalam tempoh yang lama.
“Biasanya, bagi kanak-kanak yang menjalani rawatan seperti kemoterapi, mereka tidak digalakkan untuk menempuh perjalanan jauh. Contoh kata, ibu dan anak duduk di Melaka, jadi selepas dapatkan rawatan takkan nak terus balik hadap perjalanan berjam lamanya?
“Jadi mereka akan menetap di rumah ini, dan insya-Allah dengan suasana yang tenang serta kemudahan yang lengkap, kesan selepas rawatan kemoterapi dapat dikurangkan dan pesakit lebih selesa untuk pulih,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah (Diagnostik & Sains Kesihatan), Hospital TABTAR, Datin Dr. Anita Sulong berkata, hubungan rapat antara ibu bapa dan anak semasa tempoh rawatan bukan sahaja memberikan ketenangan emosi kepada pesakit kecil, tetapi juga membantu proses pemulihan keseluruhan.
Beliau berkata, emosi anak-anak akan terganggu sekiranya tiada penjaga atau ibu bapa bersama ketika menjalani rawatan, sekali gus akan memberikan kesan kepada pemulihan.
“Kami melihat sendiri bagaimana kemudahan seperti RMH memberi impak positif kepada kesejahteraan psikologi keluarga pesakit pediatrik.
“Rumah ini adalah merupakan salah satu kemudahan yang amat diperlukan oleh keluarga pesakit kami, terutamanya yang datang dari luar Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penghuni rumah RMH, Nor Hazwani Harun, 39, berkata, rumah ini bukan sekadar tempat berteduh, tetapi juga menjadi simbol harapan dan kekuatan buat keluarganya dalam menghadapi ujian yang tidak pernah dijangka.
Katanya, ketika Muhammad Aisy Al Amin, 13, didiagnos kanser paru-paru pada usia 10 bulan, dia dan suaminya, Zulfadhli Mohd Shah, 39, hampir berputus asa kerana dimaklumkan jangka usia anak sulungnya tidak lama.
“Masa tu Aisy sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang dan doktor maklumkan dia tiada harapan untuk hidup lagi sebelum merujuk kami ke HUKM.
“Namun takdir Allah, Aisy bertahan sehingga sekarang namun perlu mendapatkan rawatan berterusan dengan pihak hospital,” katanya.
Nor Hazwani yang menetap di Gombak berkata, rutinnya dan suami setiap hari adalah sama iaitu bangun seawal pukul 5 pagi ke hospital bagi menjaga anaknya sebelum pulang ke rumah pada lewat tengah malam.
“Pihak hospital yang menyedari kesukaran kami untuk berulang-alik kemudian merujuk kami ke rumah RMH. Disinilah saya rasa banyak sangat membantu dan memberikan sinar baharu buat kami.
“Selain kos ulang-alik dapat dikurangkan dengan sangat banyak, paling penting saya dekat dengan anak saya dan pada bila-bila masa sahaja boleh ke hospital apabila doktor hubungi,” katanya sebak.
Nor Hazwani yang juga merupakan seorang suri rumah dan ibu kepada tiga anak juga berkata RMH ini ibarat rumah pertama buat Aisy, kerana anaknya tidak pernah berpeluang pulang ke rumah sendiri sejak dilahirkan kerana perlu bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen.
Selain itu, dia juga berkata anaknya yang juga didiagnos dengan ‘mild autism’ kini menunjukkan perkembangan positif apabila menerima sokongan sepenuhnya dan melakukan pelbagai aktiviti sosial ketika berada di RMH.
Buat Teruna Timpal, 51, RMH merupakan tempat di mana anak bongsunya, Nor Aliya Natasha, 15, membesar dengan kasih sayang dan harapan meskipun bergelut dengan penyakit kanser leukemia.
Teruna yang berasal dari Sepang berkata, anak perempuannya mula disahkan menghidap leukemia ketika berusia dua tahun dan sejak itu, hampir seluruh kehidupannya dihabiskan berulang-alik ke hospital untuk rawatan.
“Dahulu, masa dia mula-mula sakit, kami langsung tak tahu nak buat apa. Kos ulang-alik sangat membebankan iaitu RM250 sehari, tak campur lagi dengan kos makanan. Saya pula bekerja sebagai kontraktor sahaja.
“Tapi bila dapat duduk di RMH ini, segalanya jadi lebih mudah. Kami duduk di sini selama enam tahun, dan kali terakhir menetap pada 2016, ketika dia berumur lapan tahun,” ujarnya.
Kata bapa kepada tiga anak itu, rumah tersebut menyimpan terlalu banyak kenangan indah buat mereka sekeluarga.
“Di sinilah dia sambut hari lahirnya, di sinilah juga dia mula belajar untuk kuat dan gembira walaupun sakit. Bila sesekali datang semula ke sini, dia memang seronok, sebab tempat ni bagi dia rasa tenang,” ujarnya sambil tersenyum.
Teruna kini memilih untuk berniaga lemang bagi menampung keperluan keluarga, manakala isterinya tidak bekerja bagi memberi tumpuan penuh kepada anak.
Walaupun kini anaknya hanya perlu menjalani rawatan sekali setahun, keluarga ini masih sesekali berkunjung ke RMH, bukan untuk rawatan semata-mata, tetapi untuk mengimbau semula tempat yang pernah menjadi pelindung dan penguat semangat mereka sekeluarga.
“Rumah ni banyak berjasa. Ia bukan sekadar tempat tinggal, tapi tempat yang menyatukan kasih dan harapan dalam waktu paling sukar hidup kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rumah Ronald McDonald jadi sandaran ibu bapa anak sakit appeared first on Kosmo Digital.