Auto Added by WPeMatico

SELEPAS empat bulan menetap di Pulau Siargao, Filipina, aktor Ben Amir kini bersemangat mempelajari bahasa Tagalog kerana merancang mengembangkan karier lakonan di negara itu.
Menurut Ben Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 35, pihaknya telah menghubungi syarikat pengurusan bakat di sana.
“Memang saya ada merancang untuk berlakon di sana (Filipina) dan telah hubungi agensi pengurusan bakat. Mereka sudah lihat profil saya, nampaknya mereka berminat dan ingin mengaturkan perjumpaan.
Tetapi sudah tentu apabila kita pergi ke tempat orang, kita harus bertutur dalam bahasa mereka iaitu Tagalog.
“Mereka kata saya boleh bermula dengan siri drama yang tidak berdialog, mungkin apabila sudah fasih berbahasa Tagalog barulah saya boleh fokus karier lakonan di sana. Buat masa ini, saya masih fokus dengan karier lakonan di Malaysia,” ujar Ben Amir.
Tambah Ben Amir, bahasa Tagalog tidak sukar untuk dikuasai kerana mirip bahasa Melayu.
Oleh yang demikian, dia hanya mempelajari bahasa itu menerusi pertuturan harian bersama penduduk Pulau Siargao.
“Sebenarnya bahasa Melayu dan Tagalog lebih kurang sama daripada segi intonasi, ejaan dan maksudnya. Saya belajar bahasa mereka melalui bersembang bersama orang tempatan di sana.
Sebab apabila kita dengar pertuturan dalam bahasa Tagalog setiap hari automatik kita akan tahu dan faham. Seperti kita pergi ke Kedah, automatik terikut dialek orang sana. Begitulah saya di Filipina.
“Masyarakat di sana sangat suka jika orang luar belajar bahasa dan budaya mereka. Saya sangat dialu-alukan di sana, rasa seperti di rumah sendiri. Lagipun budaya Malaysia dan Filipina tak jauh beza,” katanya lagi.
Ben Amir ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Legasi: Bomba The Movie di GSC IOI City Mall, Putrajaya semalam.
Filem arahan James Lee dan Frank See itu menelan kos pembikinan sebanyak RM10 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan kerana mengandungi 70 peratus imej janaan computer (CGI).
Selain Ben Amir, filem yang bakal menemui penonton pada 21 Ogos ini itu turut dibintangi Nas-T, Henley Hii, Ammar Alfian, Mathni Razak, Fad Anuar, Sasidaran, Abbas Mahmood dan Hairie Othman. – HIBGLAM
The post ‘Belajar bahasa Tagalog, saya nak berlakon di Filipina’ appeared first on HibGlam.