Auto Added by WPeMatico

BERMULA sebagai pelajar aliran agama yang langsung tidak mempunyai asas dalam pengaturcaraan, siapa sangka keberanian mencuba sesuatu yang baharu akhirnya membawa Fahim Najme Ikhwan Mohd. Fauzi menempuh perjalanan yang cukup berbeza daripada apa yang pernah dibayangkannya.
Anak bongsu daripada empat beradik berasal dari Rawang, Selangor itu kini mengikuti pengajian dalam bidang software development, satu kursus yang pada awalnya begitu asing baginya selepas menamatkan pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Bagi Fahim, 22, keputusan untuk beralih daripada aliran agama kepada dunia teknologi bukanlah sesuatu yang dibuat tanpa rasa ragu.
Ceritanya, ketika mengisi permohonan kemasukan ke universiti, dia banyak berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya yang melihat teknologi maklumat (IT) sebagai bidang yang mempunyai potensi serta peluang kerjaya yang luas.
“Saya memang pernah tertanya-tanya, betulkah saya mampu bawa bidang ini kerana sebelum masuk universiti langsung tidak pernah belajar coding.
“Tetapi saya tidak mahu ketiadaan asas dijadikan alasan untuk saya mengatakan bahawa saya tidak mampu.
“Kalau tidak mencuba, saya tidak akan tahu sejauh mana kemampuan diri,” katanya kepada K-Kampus.
Jelasnya, cabaran sebenar mula dirasai apabila dia berdepan subjek pengaturcaraan di universiti.
Bahasa pengaturcaraan, logik, pangkalan data dan pelbagai konsep baharu membuatkan dirinya seolah-olah memasuki sebuah dunia yang asing.
Ada ketika dia mengambil masa lebih lama berbanding rakan-rakan lain yang sudah mempunyai asas dalam bidang IT.
Namun, Fahim enggan menjadikan perbezaan titik permulaan itu sebagai kelemahan.
Sebaliknya, dia banyak bertanya kepada rakan, mendapatkan bimbingan pensyarah dan mengulang pembelajaran sehingga benar-benar memahami sesuatu konsep.
“Saya bukan seorang yang cepat memahami sesuatu. Ada perkara yang saya perlu ulang berkali-kali sebelum benar-benar faham.
“Daripada situ saya belajar bahawa tidak mengapa kalau kita lambat, asalkan kita tidak berhenti,” katanya.
Menariknya, Fahim tidak pernah melihat latar belakang STAM sebagai sesuatu yang terpisah sepenuhnya daripada kehidupannya sebagai pelajar teknologi.

software development tetapi ada persamaan.
Menurutnya, walaupun kedua-dua bidang itu kelihatan jauh berbeza, pengalaman mengikuti STAM sebenarnya membantu membentuk sikap yang diperlukan ketika mempelajari bidang software development.
Pengajian STAM yang banyak menggunakan bahasa Arab serta menuntut hafalan, kefahaman, ketelitian dan disiplin menjadikannya lebih bersedia untuk berdepan proses pembelajaran yang sukar.
“Kalau dahulu saya perlu membiasakan diri dengan istilah dan pembelajaran dalam bahasa Arab, di universiti pula saya perlu membiasakan diri dengan bahasa pengaturcaraan.
“Kedua-duanya terasa asing pada awalnya, tetapi saya sudah belajar bahawa sesuatu yang asing tidak bermaksud mustahil untuk dikuasai,” ujarnya.
Baginya, STAM mungkin tidak pernah mengajarnya menulis kod, tetapi pengalaman itu mengajar cara untuk duduk, belajar, mengulang dan terus mencuba hingga memahami sesuatu ilmu.
Nilai tersebut ternyata menjadi bekalan penting apabila Fahim berdepan pelbagai masalah dalam pengaturcaraan.
Antara detik yang paling mengubah persepsi Fahim terhadap kemampuannya ketika mana menyiapkan projek tahun akhir yang diberi nama TrackZA- Real-Time GPS Bus Tracking and Management System for UniSZA.
Menerusi projek itu, Fahim mula melihat bagaimana ilmu yang dipelajarinya sepanjang pengajian boleh digabungkan untuk menghasilkan sebuah sistem sebenar.
Saat melihat sistem yang dibangunkannya mula berfungsi menjadi antara momen paling bermakna dalam perjalanannya.
Kejayaan TrackZA memperoleh Pingat Gangsa pula menjadi satu lagi tanda bahawa perjalanan yang bermula hampir daripada kosong itu tidak sia-sia.
Dalam setiap fasa perjalanan itu, Fahim mengakui keluarga menjadi antara sumber kekuatan terbesarnya.
Kepercayaan keluarga menjadi dorongan ketika dia mula mempersoalkan kemampuan diri pada semester-semester awal.
Menariknya, perjalanan Fahim di universiti bukan hanya tertumpu kepada akademik.
Dia turut aktif dalam kegiatan mahasiswa dan menyertai Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) sehingga ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam pada 16 Ogos lalu.
Pencapaian itu merupakan kemuncak kepada perjalanan panjang bermula semester 1 hingga semester 5, termasuk mengikuti Kursus Asas Pertahanan Awam, First
Responder Life Support (FRLS), Kursus Pengurusan Pusat Pemindahan, Kursus Metodologi Latihan dan Kursus Bakal Pegawai.
Menurutnya, perjalanan bersama rakan seperjuangan khususnya COBRA 05 Squad banyak membentuk dirinya dari sudut disiplin, kepimpinan, ketahanan mental dan kerja berpasukan.
Selepas menamatkan pengajian kelak, Fahim berhasrat membina kerjaya dalam bidang teknologi maklumat selain terus memperkukuh pengalaman dalam kepimpinan dan bidang beruniform.
Impian besarnya adalah untuk menggunakan ilmu teknologi bagi membina penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain mampu membalas jasa kedua-dua ibu bapanya.
The post Belajar agama, bahasa Arab bantu Fahim dalam ‘coding’ appeared first on Kosmo Online.
