Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Ajaran sesat kini bukan sekadar penyelewengan akidah malah telah bertukar menjadi lubuk mengaut kekayaan apabila pengikut diperah melalui pelbagai kutipan dan janji pendapatan lumayan kepada ahli baharu.
Lebih membimbangkan, siasatan mendapati elemen keuntungan kewangan menjadi antara punca utama individu mudah terjerumus apabila mereka ditawarkan pulangan berganda sehingga sanggup membayar pelbagai yuran dan sumbangan kepada kumpulan berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata, siasatan mendapati aspek kewangan menjadi antara faktor paling dominan dalam penglibatan mangsa.
Katanya, dalam banyak kes, pengikut tidak sedar mereka sedang dieksploitasi secara kewangan kerana ia dilakukan secara berperingkat dan dibalut dengan kepercayaan agama serta hubungan emosi dengan pemimpin kumpulan.
“Siasatan kita mendapati mereka terlibat disebabkan masalah kewangan dengan ajaran sesat tawarkan duit. Mereka yang terlibat satu ajaran boleh dapat pendapatan berganda.
“Mereka mengambil kesempatan terhadap pengikut dari sudut kewangan sama ada kutipan derma, baiah, yuran pengajian, pembelian produk dan menggunakan produk itu atau sumbangan wajib kepada kumpulan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Penyelewengan Akidah dan Gejala Sosial Dalam Masyarakat Masa Kini: Punca, Realiti dan Penyelesaian yang dimoderator Pegawai Hal Ehwal Islam, Ketua Unit Dakwah Daerah Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Muhamad Yusof Masran, di sini.
Menurut beliau, penglibatan dalam ajaran sesat turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan berpendidikan tinggi, profesional, usahawan, suri rumah dan belia.
Katanya, antara faktor lain yang mendorong keterlibatan ialah masalah rumah tangga apabila wujud ketidaksefahaman sehingga ada yang mencari “tempat bergantung” untuk meluahkan tekanan emosi.
“Selain itu, ada juga yang terpengaruh akibat masalah kesihatan sehingga mencari bomoh, serta individu yang hilang hala tuju hidup dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang dirasakan lebih dekat di hati mereka,” katanya.
Mohd. Hidayat berkata, modus operandi ajaran sesat kini juga semakin licik dan tersusun apabila tidak lagi hanya tertumpu kepada kaedah usrah atau kuliah secara fizikal.
Sebaliknya, kumpulan berkenaan menggunakan aplikasi komunikasi dan media sosial bagi menyebarkan fahaman mereka dengan lebih pantas dan meluas.
“Ada juga yang dijalankan secara eksklusif, hanya individu tertentu yang ditapis boleh menyertainya. Ini antara kaedah baharu yang digunakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.
Tambah beliau, taktik lain yang sering digunakan adalah membina kepercayaan secara berperingkat dengan menampilkan diri sebagai guru agama, perawat Islam, motivator serta individu yang kononnya mempunyai kelebihan spiritual.
“Semua ini dilakukan untuk meyakinkan pengikut sebelum mereka mula diperangkap dalam sistem kewangan kumpulan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan cabaran menangani isu ajaran sesat kini semakin kompleks susulan penggunaan media sosial yang meluas serta kemunculan pelbagai ideologi yang meresap dalam masyarakat.
“Unsur seperti kesamarataan agama dan fahaman longgar terhadap akidah turut menjadikan masyarakat lebih mudah menerima perkara yang menyimpang daripada ajaran sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ajaran sesat ‘mesin’ kaut harta appeared first on Kosmo Digital.
