Auto Added by WPeMatico

KOTA KINABALU – Ketua warden asrama sekolah, Azhari Abd. Sagap memaklumkan Mahkamah Koroner dia mengarahkan pengawal keselamatan dan lima pelajar yang berada di lokasi ketika itu untuk mengangkat dan mengalihkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ke kawasan berbumbung.
Azhari berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian pada awal pagi 16 Julai lalu, dia melihat remaja perempuan tingkatan satu itu dalam keadaan terbaring dalam longkang di bawah bangunan asrama.
Katanya, dia menerima panggilan daripada pengawal keselamatan sedang bertugas ketika itu, Linah Mansoding sekitar pukul 3.04 pagi pada 16 Julai lalu.
“Sewaktu tiba di bangunan asrama sekitar pukul 3.13 pagi, saya melihat Zara terbaring tidak sedarkan diri dalam longkang. Berdasarkan pemerhatian saya, dia dilihat bernafas seperti tidur berdengkur.
“Individu berada di lokasi kejadian pada waktu adalah diri saya, Linah dan empat pelajar. Saya kemudiannya meminta mereka mengangkat Zara keluar dari longkang ke tempat lantai simen berbumbung,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Azhari yang juga saksi kelapan pada prosiding inkues kes kematian Zara Qairina memberitahu mahkamah ketika pelajar tingkatan satu terbabit dialihkan, beliau melihat terdapat darah di tepi longkang dan kecederaan di pergelangan kakinya.
“Saya membuat panggilan kecemasan melalui talian 991 pada pukul 3.17 pagi selain menghubungi Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Cikgu Asnie. Saya kemudian pergi ke rumah Pengetua, Ustazah Shaharoom Hashim yang terletak berhampiran asrama untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
“Selain itu, saya turut cuba menghubungi ibu bapa Zara, tetapi tidak berjaya ,” katanya.
Menurut Azhari dirinya menghubungi talian kecemasan 991 sekali lagi pada pukul 3.47 pagi sebelum Zara dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans yang tiba sebelum pukul 4 pagi.
Azhari menambah sekitar pukul 8.16 pagi saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tentang kejadian yang berlaku di sekolah. – KOSMO! ONLINE
The post Jumpa Zara dalam longkang, tak dapat hubungi ibu bapanya – Ketua Warden appeared first on Kosmo Digital.