Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – D’Herbs Holding Sdn. Bhd. merancang memperluaskan empayar perniagaannya dengan memperkenalkan lebih banyak produk keperluan rumah selain bercadang membuka sebuah pusat beli-belah sendiri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengasas dan pemiliknya, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berkata, selain kosmetik, syarikat itu kini memberi tumpuan kepada pengeluaran barangan rumah seperti pinggan mangkuk, peralatan elektrik serta produk keperluan asas isi rumah.
“Selepas hampir 20 tahun dalam perniagaan kosmetik, saya merancang untuk memperluaskan perniagaan kepada barangan rumah seperti pinggan mangkuk, peralatan elektrik dan produk kegunaan harian.
“Dalam pasaran sekarang terlalu ramai pemain dalam industri kosmetik, jadi saya melihat peluang untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang digunakan di rumah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, antara produk baharu yang mendapat sambutan memberangsangkan ialah pengisar (blender) yang berjaya mencatat jualan lebih 100,000 unit dalam tempoh kurang sebulan.
Dalam pada itu, Aliff Syukri berkata beliau turut menyasarkan untuk membuka sebuah pusat beli-belah sendiri yang menghimpunkan pelbagai produk di bawah satu bumbung.
Katanya, pusat beli-belah tersebut dirancang menggunakan konsep seperti rangkaian peruncit antarabangsa Primark namun dengan identiti jenama sendiri yang dikenali sebagai “Papa Mart”.
“Saya ada impian untuk membuka sebuah mall sendiri dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Jika semuanya berjalan lancar, saya berharap impian itu dapat direalisasikan sekitar tahun 2030,” jelasnya.
Dalam masa sama, Aliff Syukri turut menyasarkan untuk meningkatkan jualan syarikat sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun lalu selain menyasarkan untuk mengeluarkan kira-kira1,000 produk tahun ini.-KOSMO! ONLINE
The post D’Herbs ceburi produk kelengkapan rumah, penuhi keperluan semasa appeared first on Kosmo Digital.
