Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Tindakan pengunjung mengambil pokok hiasan milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sehingga tular di Threads dipercayai berlaku kerana salah faham apabila tanaman berkenaan disangka diberikan secara percuma pada Sambutan Hari Landskap Negara 2026 di Stadium Hang Jebat di sini, semalam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku ketika pekerja MBJB sedang memindahkan lebihan pokok hiasan dari laman pameran mereka ke dalam lori.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan sebahagian pengunjung menyangka pokok berkenaan merupakan tanaman percuma yang boleh dibawa pulang.
“Pihak pekerja MBJB telah cuba menghalang dan memaklumkan bahawa pokok tersebut bukan agihan pokok percuma tetapi sebahagian daripadanya tetap diambil oleh orang awam.
“Tiada pokok bernilai ribuan ringgit diambil dalam kejadian itu justeru pengunjung yang telah membawa pulang tanaman berkenaan tidak perlu memulangkannya,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads memuat naik hantaran mengenai kejadian itu yang mendakwa pokok hiasan berkenaan merupakan milik MBJB dan bukan untuk diambil pengunjung.
Dalam hantaran tersebut, pengguna terbabit meluahkan rasa kesal selepas mendakwa pokok berkenaan telah diambil walaupun tiada sebarang makluman menyatakan tanaman itu diberikan secara percuma.
“Kenapa jadi macam ni orang Melaka. Pokok-pokok ini milik MBJB, tapi habis diambil orang pagi dan tengah hari tadi. Habis ya diambil. Sedangkan tak ada langsung ditulis pokok percuma ke apa.
“Baru kali pertama Melaka jadi tuan rumah Hari Landskap Negara. Pokok percuma di khemah pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi pokok MBJB pula menjadi mangsa,” menurut hantaran itu.
Pada masa sama, Shadan mengingatkan semua pempamer laman PBT atau mana-mana peserta yang berhasrat mengagihkan pokok secara percuma supaya penyelarasan agihan dibuat di khemah agihan pokok yang terletak bersebelahan bas Klinik Pergigian Bergerak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sambutan Hari Landskap Negara 2026 berlangsung selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad di perkarangan Stadium Hang Jebat dengan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran, jualan, pertandingan, persembahan pentas dan program untuk seisi keluarga. – KOSMO! ONLINE
The post Sangka percuma, pokok MBJB ‘lesap’ diambil pengunjung appeared first on Kosmo Digital.
